Bayu Banjaran Titiwangsa bertiup sepoi –
sepoi bahasa mendinginkan suasana pagi yang damai itu. Sang mentari pula seakan
malu menampakkan dirinya lalu berselindung di balik awan – gemawan yang
memutih. Namun, sinarnya yang kudus tetap menyerlahkan pagi hari di Kampung
Tualang Tiga.
Suasana yang mendamaikan itu diserlahkan lagi
dengan keharmonian masyarakat kampung berkenaan yang hidup dalam suasana
bahagia, aman dan sentosa. Alam sekitar Kampung Tualang Tiga berkenaan bukan
sahaja bersih dan mendamaikan malahan mampu memberi ketenangan terhadap
penduduknya kerana ekosistemnya yang masih terpelihara.
Kampung Tualang Tiga ini
dikepalai oleh Pak Zaman yang merupakan seorang pemimpin yang berdedikasi dan
sentiasa menjaga keamanan anak – anak buahnya. Beliau telah mengepalai kampung
ini selama lebih tiga dekad. Beliau telah menjalankan pelbagai program
pembangunan seperti pertanian dan perindustrian untuk kepentingan seluruh
penduduk kampung.
Nazri dan Muhadir sedang berbasikal sambil
menikmati keindahan alam ciptaan Tuhan. Mereka kelihatan riang. Sesekali tawa
mereka kedengaran menghingari sepanjang jalan di ladang getah. Sungguh rancak
mereka berbual tentang aktiviti yang mereka rencanakan.
Mereka; Nazri dan Muhadir, pemuda tampan anak
jati Kampung Tualang Tiga. Sejak dilahirkan lagi mereka telah menghirup udara
segar kampung ini dan keharuman aroma desa ini telah sebati dalam diri mereka.
Sebagai anak muda harapan negara, mereka telah menubuhkan sebuah kelab belia
bersama – sama sahabat mereka yang juga belia kampung ini seperti Ruzaini,
Faris dan Hasif Yusof. Kelab tersebut dinamakan Skuad Belia Tualang Tiga dan
ditubuhkan untuk menjalankan aktiviti untuk belia – belia kampung agar mereka
tidak terjebak dengan kegiatan tidak sihat seperti penagihan, berjudi dan
perbuatan keji yang lain.
Sedang mereka rancak berbual – bual, sebuah
kereta jenis Nissan Fair Lady berwarna putih memintas mereka berdua dengan
lajunya dan menerbangkan dedaun kering yang bertebaran di jalan. Kenderaan
mewah itu dengan tiba – tiba berhenti secara mengejut di hadapan mereka. Nasib
baik mereka sempat menarik brek basikal mereka walaupun terkejut dengan
tindakan pemandu kenderaan itu yang sungguh biadap.
Kejutan yang masih belum hilang memalu
jantung mereka untuk berdegup dengan pantas. Dalam hati, mereka sempat beristighfar
dan bertahmid. Syukur kerana tiada kemalangan yang berlaku. Nazri mengurut
dadanya sementara Muhadir tampak tenang. Matanya memerhatikan kenderaan
terbabit. Pemandunya masih belum keluar.
Beberapa minit kemudian, pintu kereta
terbuka. Kelihatan seorang pemuda yang agak tegap tubuhnya, dan mungkin berusia
awal 30 –an, keluar daripada kenderaan mewah tersebut. Pemuda terbabit
kelihatan segak dengan sut yang melengkapi tubuhnya. Air mukanya menunjukkan
kesombongannya. Dia berjalan perlahan menuju ke arah Nazri dan Muhadir. Tiada
senyum yang kelihatan.
Muhadir menepuk bahu Nazri dan memberi
isyarat kepada Nazri. Nazri segera menoleh ke arah pemuda yang dianggap biadap
itu. Mereka sama – sama memandang ke arah pemuda terbabit dengan satu pandangan
curiga. Namun, bibir mereka tetap terkunci, tiada kata yang terluah. Hanya
menanti sahaja.
“Hei! Budak! Kau tahu di mana rumah Pak
Zaman?!” soal pemuda terbabit dengan kasarnya. Tiada salam atau sapaan yang
lembut. Menggambarkan keperibadiannya yang kurang baik.
“Entah! Kami tidak kenal Pak Zaman. Maaflah.”
Jawab Nazri kemudiannya. Nada suaranya sengaja dikeraskan. Muhadir hanya
memandang. Belum mahu berbicara lagi.
“Takkan kau tak kenal ketua kampung sendiri.
Anak orang aslikah, kamu berdua ni?”. Pemuda terbabit menemplak. Nazri berasa
amat geram. Suka – suka hati saja orang ini menghina aku. Getus hatinya. Rasa
mahu ditumbuk sahaja muka sombong itu.
Muhadir yang memahami perangai Nazri yang panas
baran itu, cepat – cepat dia menenangkan keadaan sebelum keadaan menjadi lebih tegang.
“Maaf encik. Kawan saya baru di sini. Rumah
Pak Zaman di sebelah sekolah rendah Islam. Selepas simpang hadapan ni, encik
belok ke kiri. Encik terus sahaja sehingga bertemu satu lagi simpang tiga.
Encik ambil simpang ke kanan, terus sahaja melalui jalan tersebut. Dalam 1km, encik
akan nampak rumah Pak Zaman di sebelah kanan. Rumahnya berwarna kuning muda.”
Muhadir memberikan arah ke rumah Pak Zaman; ketua kampung tersebut, seperti
yang diminta oleh pemuda sombong terbabit.
Setelah mendapat maklumat yang diperlukan,
pemuda itu terus beredar tanpa ada secalit senyuman mesra di bibirnya seperti
sebelumnya juga tiada ucapan terima kasih yang diluahkan. Kenderaan mewahnya
dipecut laju. Meninggalkan Nazri dan Muhadir yang masih berdiri di situ. Deruman
laju kenderaannya menerbangkan dedaunan kering. Membawa angin kasar, yang
menampar – nampar wajah Nazri dan Muhadir. Hati mereka terguris dengan ulah
pemuda yang tidak tahu daripada mana datangnya? Perbuatannya betul – betul
menunjukkan keperibadiannya yang kurang beradab. Bertambah menyirap darah
Nazri. Dia menyumpah dalam hati.
Muhadir kemudiaannya mengajak Nazri
meneruskan perjalanan mereka. Meneruskan kayuhan menuju ke tempat mereka selalu
berkumpul bersama rakan –
rakan yang lain. Nazri menurut sahaja tanpa kata. Rona wajahnya masih merah.
Muhadir kenal benar ulah rakannya itu. Mood Nazri benar – benar tercalar. Pagi
–pagi lagi sudah rosak mood gembiranya. Muhadir membiarkan sahaja Nazri tenang
sendiri. Kalau diganggu, lain pula jadinya.
10 minit berkayuh, mereka sudah sampai di
pinggir sungai. Aliran sungai yang tenang dan mendamaikan, membawa ion – ion
negatif yang dikatakan mampu memberikan ketenangan kepada minda. Jernih dan
dingin. Anak – anak ikan berenang –
renang dengan gembiranya. Bergurau senda di dasar sungai. Air sungai itu hanya
separas betis orang dewasa sahaja. Kicauan unggas dan suara merdu cengkerik
memainkan muzik alam yang mendamaikan suasana di lata terbabit. Lata inilah tempat
peranginan bagi penduduk Kampung Tualang Tiga. Tempat riadah bagi anak – anak
kampung. Kejernihan dan keindahannya sentiasa dipelihara.
Muhadir menghirup udara segar. Meraih seribu
ketenangan yang dibawa oleh sang bayu yang menghembus lembut. Berlainan pula
dengan Nazri. Ketenangan itu masih belum mampu menenangkan kolam hatinya yang
menggelegak. Jika boleh diukur suhunya, boleh pecah termometer kerana terlalu
panas. Nazri masih geram. Geram akan kebiadapan pemuda yang baru sahaja
ditemuinya itu.
“Dir, kenapa kau baik sangat tadi? Seharusnya
dibiarkan saja orang itu mencari sendiri rumah ayah kau tu.”
Nazri melepaskan amarahnya. Walaupun dia
bersuara tenang, namun nada yang terluah kedengaran sinis. Pada ketika itu,
udara sejuk yang berhembusan dirasakan seperti hawa pemanas ketuhar sahaja.
Muhadir tersenyum mendengarkan kata – kata Nazri itu. Wajahnya tampak tenang
sahaja. Begitulah peribadinya yang sentiasa tenang.
“Naz. Tak baik kita juga berkasar dengan dia.
Walaupun dia berkasar dengan kita. Kalau tidak, kita sama sahaja dengan dia.
Lagi pun, aku lihat dia seperti baru di sini. Jadi, sebagai warga kampung ini,
kita wajib melayan tetamu kampung kita dengan baik.”
Tutur Muhadir yang memberikan jawapan dengan
hujah yang bernas membuatkan Nazri terpukul. Ada kebenarannya juga. Nazri terus
terdiam. Benar. Tetamu perlu dilayan sebaiknya kecuali jika kehadirannya
mengancam nyawa.
Keriuhan yang kedengaran sayup mengganggu
perbualan mereka. Kelihatan dari jauh, Faris, Ruzaini dan Hasif Yusof sedang
berbasikal sambil bergurau senda. Mereka berlima telah berjanji sebelum ini
untuk bertemu di lata tersebut untuk beriadah dan juga berbincang mengenai
rencana aktiviti Skuad Belia Tualang Tiga yang diketuai oleh Muhadir; yang juga
anak kepada Pak Zaman; Ketua Kampung Tualang Tiga.
Usai bersembang sambil
bersantai – santai di lata tersebut, mereka berlima terus pulang ke rumah
masing – masing. Mentari merah juga sudah meninggi di kepala langit. Sebentar
lagi azan Zohor akan berkumandang. Mereka harus lekas pulang.
Di
rumah Pak Zaman...
“Saya setuju, Encik Hasif. Bila projek
itu hendak dilaksanakan?”. Pak Zaman menyatakan persetujuannya. Senyumnya
melebar. Ditatapnya wajah pemuda di hadapannya itu.
Pak Zaman tampak gembira. Bersungguh –
sungguh dia bertanya itu dan ini setelah En. Hasif membentangkan kertas kerja
berkenaan projek pembangunan kilang pemprosesan kayu kayu di kampung tersebut. Dimatanya,
sudah terlihat peluang –
peluang kerja untuk penduduk kampung yang masih belum mempunyai pekerjaan.
En. Hasif merupakan seorang usahawan
perabot yang terkenal dengan barangan perabot berkualiti daripada kayu – kayu
hutan. Perniagaannya berdaya saing. Dia bercita – cita untuk mengembangkan
perniagaannya di Kampung Tualang Tiga kerana dikatakan kampung itu mempunyai
sumber kayu – kayan yang berkualiti untuk dijadikan perabot.
En. Hasif menghirup secangkir kopi hitam yang
dihidangkan oleh Siti; anak gadis Pak Zaman sebelum dia menjawab pertanyaan Pak
Zaman sebentar tadi. En. Hasif dengan bangganya menyatakan bahawa projek
terbabit akan dimulakan penghujung bulan ini jika permohonannya diluluskan dan
dijangka kilangnya akan beroperasi lima bulan kemudiannya. Kilang yang akan
didirikan cuma kilang pemprosesan kayu – kayu sahaja, manakala kayu – kayu yang
telah diproses akan dibawa ke Kuala Lumpur, ke kilang pemprosesan kayunya yang
menjalankan proses pembuatan dan rekaan juga pameran jualan perabot berasaskan
kayu tersebut.
Perbincangan demi perbincangan diteruskan.
Selain Pak Zaman, Pak Akob dan Ustaz Adnan selaku imam kampung juga ada di
situ; di rumah Pak Zaman. Mereka merupakan antara ahli jawatankuasa kampung.
Pengerusinya; Pak Zaman. Segala hal ehwal kampung termasuklah hal ehwal
pembangunan ekonomi kampung juga berada bawah kelolaan beliau. Perbincangan
mereka begitu rancak sekali. Semuanya berkisar mengenai pembinaan kilang
terbabit. Sesekali perbincangan mereka diselangi dengan tawa yang menghangatkan
suasana.
Setelah persetujuan dicapai, Pak Zaman pun
menandatangani surat kebenaran yang membenarkan projek pembangunan kilang pemprosesan
kayu perabot tersebut dijalankan bersaksikan Pak Akob dan Ustaz Adnan. Setelah
itu, mereka membawa En. Hasif ke
tapak tanah yang bakal dijadikan tapak pembinaan kilang terbabit. Tapak tanah
itu disewakan kepada En. Hasif untuk tempoh lima tahun.
Kawasan tapak kilang berkenaan merupakan
tanah wakaf yang diwakafkan oleh datuk Pak Zaman untuk digunakan bagi keperluan
masyarakat kampung. Kawasan terbabit terletak di pinggir kampung berhampiran
dengan lata sungai yang menjadi kawasan rekreasi warga kampung. Sungai tersebut
juga menjadi sumber air untuk mengairi kawasan pertanian yang diusahakan oleh
warga kampung Tualang Tiga.
SAMBUNG BACAAN ANDA DI SINI (^_^)
No comments:
Post a Comment