3 Jun 2018

BERAYA DENGAN BIJAK

Ramadan semakin berlalu pergi. Kita pasti akan merindui saat - saat beribadah dan menahan diri daripada lapar, dahaga, emosi melampau dan pastinya menahan diri daripada pembaziran dan boros.

Setiap kali menjelang perayaan Aidilfitri, pasti ramai akan mengeluarkan belanja yang besar untuk meraikan hari kebesaran umat Islam ini. Segala persiapan akan dilakukan sebelum tibanya Ramadan daripada pakaian, makanan, keperluan rumah, perbelanjaan balik kampung, urusan zakat dan sebagainya.

Namun, perbelanjaan yang besar bukan suatu kewajipan walaupun kita meraikan hari raya setahun sekali sahaja. Begitu juga Ramadan yang tiba setahun sekali, kita juga dilatih dan berlatih menahan diri daripada memenuhi nafsu yang buas, mengapa di penghujung Ramadan kita melempiaskan nafsu dengan berbelanja sesuka hati? Di mana ibrah atau pengajaran dalam Ramadan itu?

Di sini, saya ingin kongsikan beberapa tips untuk mengawal perbelanjaan anda supaya selepas Aidilfitri, anda masih ada wang untuk perbelanjaan harian sementara menanti gaji seterusnya.

1. Senaraikan pakaian yang hendak dibeli. Seorang hadkan dua pasang baju sahaja. Memakai pakaian baru di Aidilfitri adalah sunnah tetapi jika membazir, itu bukan sunnah. Beli baju pada waktu sebelum Ramadan. Jika tidak sempat atau baru dapat bonus raya, beli saja mengikut keperluan. Jika boleh, beli daripada peniaga yang menawarkan harga yang berpatutan dengan anda. Beli pakaian yang tidak mengikut trend semasa. Jadi, selepas raya dan raya tahun depan masih boleh dipakai.

2. Senaraikan barang keperluan dapur. Jika boleh, senaraikan jenis hidangan yang anda rancang untuk masak pada hari raya pertama dan seterusnya. Jika anda beraya bersama ahli keluarga yang besar, kongsikan saja menu dan sediakan mengikut keperluan keluarga dan tetamu yang bakal berkunjung ke rumah anda.