24 Apr 2017

PASAR BUKU KEMUDI

KEMUDI menganjurkan program ‘Pasar Buku KEMUDI’ pada 23 April 2017 bersamaan hari Ahad bertempat di Pejabat Majlis Kebudayaan Negeri Selangor di No. 11, Jalan Nangka 4/6, Seksyen 4, Shah Alam. Acara berlangsung dari jam 09.00 pagi hingga jam 06.00 petang. Sebanyak 10 peniaga yang terlibat dalam menjayakan program ini.

Acara dimulakan dengan aktiviti jualan. Para peniaga yang terlibat mula membuka reruai jualan mereka seawal jam 08.30 pagi. Terdapat tujuh peniaga buku yang menyertai program ini iaitu SO Publishing, Syahida Hassan Enterprise, Kubu Buku, Buku Warisan, Bistro Pustaka, Pustaka Warisan dan Kuala Langat Book and Magazine Supplier. Peniaga lain yang turut menyertai program ini ialah peniaga minuman, peniaga makanan dan kaunter promosi takaful dan SSPN-i.

Dalam program ini, pihak KEMUDI turut membuka kaunter informasi KEMUDI bagi menyediakan maklumat mengenai KEMUDI kepada pengunjung dan juga membuka keahlian baru kepada sesiapa yang berminat untuk menyertai persatuan ini. Kaunter informasi ini dibuka dari jam 09.00 pagi sehingga acara tamat. Pengunjung yang hadir diberikan flyers KEMUDI.

Beberapa penulis terkenal turut hadir bagi memeriahkan acara. Antaranya novelis Sri Diah, novelis Puteri Andalas dan beberapa lagi pengkarya yang turut hadir memberikan sokongan untuk penganjuran program Pasar Buku KEMUDI ini. Turut hadir dalam program yang julung kali diadakan ini ialah mantan Yang DiPertua KEMUDI yang pertama; Dato Abdul Samad Maharudin.

Acara pentas dimulakan pada jam 02.00 petang. Pentas digamatkan dengan persembahan daripada Adik Amanina Aisyah yang membuat persembahan bercerita kisah Rama – rama. Kemudian, pentas dihangatkan dengan persembahan deklamasi sajak daripada penulis veteran iaitu Dr. Hj. Razali Yusof yang mendeklamasikan dua sajak beliau. Adik Siti Balqis daripada SK Bukit Rimau turut mendeklamasikan sajaknya.

Turut serta dalam acara pentas ialah Puan Nurul Syahida yang mendeklamasikan dua buah sajak beliau dalam Antologi Pertiwi Kersani dan Dr. Adriana Ismail; pensyarah UiTM Shah Alam, tidak melepaskan peluang melantunkan suara menyampaikan dua buah sajak daripada antologi yang sama. Hadirin yang menonton terhibur dengan persembahan pentas tersebut.

Tepat jam 03.30 petang, acara diteruskan dengan Pertandingan Deklamasi Sajak daripada peserta yang terdiri daripada pelajar SMK Jalan Tiga, Bandar Baru Bangi yang dikendalikan oleh Puan Nora Markom selaku guru pengiring. Seramai 15 orang peserta yang terlibat termasuk seorang peserta daripada SK Bukit Rimau. Para peserta mendeklamasikan sajak daripada Antologi Merpati Pulang, Puisi Kemanusiaan Kanak – kanak terbitan Pengkarya Guru.

Setiap peserta diberikan masa lima minit untuk membuat persembahan. Pertandingan berakhir pada jam 05.00 petang. Dua orang juri dipertanggungjawabkan untuk menilai persembahan tersebut. Dua juri tersebut; En. Zolkafli Komeng, penggiat seni teater dan En. Jazlan Abdul Jalil menggalas tanggungjawab sebagai juri yang menghakimi setiap persembahan mengikut aspek – aspek yang telah ditetapkan. Para peserta dinilai dari aspek kawalan vokal, bahasa pertuturan, penghayatan sajak dan teknik persembahan.

Sementara menanti pengumuman juri, penonton disajikan dengan persembahan deklamasi dajak daripada juri utama; En. Zolkafli Komeng yang mendeklamasikan sajaknya yang bertajuk Hujan Di Tengah Jalan. Para penonton terkesan dengan persembahan beliau yang meruntun hati.

Selepas keputusan pertandingan siap, juri kedua, En. Jazlan mengumumkan nama pemenang. Tempat pertama diungguli oleh Adik Damia Khaliysa Mohamad Nasaruddin dengan sajaknya yang bertajuk Janji Sebuah Nafsu. Tempat kedua menjadi milik Adik Nur Alfira Shahirah Zaidi yang mendeklamasikan sajak Derita Lembah. Tempat ketiga pula dimenangi oleh Adik Siti Balqis Zakaria yang membawakan sajaknya yang bertaju Ini Tanah Yang Kugenggam.

Dua tempat lagi menjadi milik Adik Siti Nur Athirah Kamaruzaman untuk sajaknya Carikan Ibuku dan Adik Nur Hidayah Abdul Jamil untuk persembahan sajaknya yang bertajuk Satu Waktu Dahulu. Pihak KEMUDI turut menyampaikan Hadiah Penghargaan untuk Adik Amanina Aisyah Asyraf atas persembahannya. Semua pemenang membawa pulang hamper dan setiap peserta diberikan sijil penghargaan.

Program ini berjalan dengan lancar dan mencapai objektifnya. Yang Di Pertuan KEMUDI yang baru, En. Zainal Mohd Jais menzahirkan rasa kesyukuran atas kejayaan program ini dan berharap program Pasar Buku KEMUDI ini dapat dilaksanakan pada masa akan datang sebagai aktiviti bulanan persatuan ini bagi menaikkan nama persatuan dan memeriahkan persatuan dengan aktiviti kesenian dan keilmuan seperti ini. Beliau turut mengucapkan tahniah kepada para pemenang dan penghargaan beliau kepada semua ahli yang terlibat dalam program ini sama ada secara langsung mahu pun tidak langsung.


PENUTUP

Secara keseluruhannya, program Pasar Buku KEMUDI berjalan dengan lancar dan mencapai objektifnya. Namun, terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian dan perlu membuat beberapa penambahbaikan supaya program ini dapat dilaksanakan dengan lebih berjaya. Semua pihak perlu berganding bahu untuk memastikan program seumpama ini menjadi satu medan untuk acara kesenian, kebudayaan dan kesusasteraan. 










No comments: