10 Jun 2017

RESENSI BUKU DI PERBADANAN KOTA BUKU

ALHAMDULILLAH.

Syukur yang tidak terhingga kepada Yang Maha Esa kerana atas izin-Nya, saya berpeluang untuk bersiaran secara langsung di Perbadanan Kota Buku untuk sesi resensi buku. Temujanji singkat antara saya dan pengurus sesi ini iaitu Encik Sam memberi peluang kepada saya untuk memperkenalkan diri dan membuat ulasan mengenai karya saya.

Saya memilih karya pertama saya yang berjaya dibukukan. Sesuci Sekuntum Dahlia dalam Antologi Bebas. Antologi Bebas diterbitkan pada bulan Ogos 2016. Cerpen ini pula ditulis pada tahun 2015. Saya tak ingat bila tarikhnya tapi yang pasti ketika itu saya masih belum berumahtangga. 

Siapa Dahlia? Kenapa saya mengangkat kisah ini? Itu persoalan yang saya rungkaikan dalam resensi kali ini. Kisah yang diinspirasikan daripada lagu Kupu - kupu Malam dendangan Evie Tamal yang kemudian dinyanyikan semula oleh Peter Pan memberi ilham kepada saya untuk menghasilkan sebuah cerpen. Saya selitkan moral, setiap manusi mempunyai peluang kedua untuk melakukan perubahan dalam diri mereka. Mereka berhak hidup bebas di bumi Allah ini. Mereka juga layak mendapat layanan yang baik. Siapa kita untuk menghakimi orang lain?

Saya memilih antologi ini untuk diulas kerana antologi ini membuka peluang kepada saya untuk melebarkan sayap dalam bidang penulisan. Antologi ini menjadi batu loncatan kepada saya untuk terus mengorak langkah dalam bidang penulisan. Bidang penulisan bukan sesuatu yang mudah. Tanpa usaha yang berterusan, semangat yang kental dan jiwa yang kuat, tiada karya yang akan terhasil.

Saya sangat bersyukur. Bersyukur atas nikmat Tuhan yang memberikan ilham kepada saya. Sesungguhnya, setiap ilham yang dikurniakan adalah rezeki dari-Nya. Bersyukur juga kerana dikurniakan teman hidup yang sudi menyokong kerjaya saya. Tanpa beliau, saya tidak mampu terbang dengan jaya. Saya umpama burung yang patah sayap! Kini, saya mampu terbang melihat dunia yang penuh warna. Bersyukur atas nikmat Tuhan, keluarga yang memberikan sokongan yang penuh walaupun tiada kata yang terzahir, senyuman dan doa mereka menjadi tulang belakang buat saya. 

Akhir sekali, naskhah Antologi Bebas ini membebaskan saya daripada belenggu fikiran yang sempit dan kusut. Saya bebas meluahkan pemikiran saya. Saya bebas berkarya. Saya pasti anda juga mahu bebas daripada kehidupan yang gelap. Mari kita bersama - sama membebaskan jiwa yang suram, mencari cahaya Ilahi. Sesuci Sekuntum Dahlia - membuka mata jiwa.




klik link ini untuk lihat video siaran langsung yang telah dirakam oleh pihak Kota Buku.

No comments: