16 Jun 2017

TIPS BERBELANJA MENJELANG SYAWAL


Ramadan semakin berlalu pergi. Kita pasti akan merindui saat - saat beribadah dan menahan diri daripada lapar, dahaga, emosi melampau dan pastinya menahan diri daripada pembaziran dan boros. 

Setiap kali menjelang perayaan Aidilfitri, pasti ramai akan mengeluarkan belanja yang besar untuk meraikan hari kebesaran umat Islam ini. Segala persiapan akan dilakukan sebelum tibanya Ramadan daripada pakaian, makanan, keperluan rumah, perbelanjaan balik kampung, urusan zakat dan sebagainya.

Namun, perbelanjaan yang besar bukan suatu kewajipan walaupun kita meraikan hari raya setahun sekali sahaja. Begitu juga Ramadan yang tiba setahun sekali, kita juga dilatih dan berlatih menahan diri daripada memenuhi nafsu yang buas, mengapa di penghujung Ramadan kita melempiaskan nafsu dengan berbelanja sesuka hati? Di mana ibrah atau pengajaran dalam Ramadan itu?

Di sini, saya ingin kongsikan beberapa tips untuk mengawal perbelanjaan anda supaya selepas Aidilfitri, anda masih ada wang untuk perbelanjaan harian sementara menanti gaji seterusnya. 



1. Senaraikan pakaian yang hendak dibeli. Seorang hadkan dua pasang baju sahaja. Memakai pakaian baru di Aidilfitri adalah sunnah tetapi jika membazir, itu bukan sunnah. Beli baju pada waktu sebelum Ramadan. Jika tidak sempat atau baru dapat bonus raya, beli saja mengikut keperluan. Jika boleh, beli daripada peniaga yang menawarkan harga yang berpatutan dengan anda. Beli pakaian yang tidak mengikut trend semasa. Jadi, selepas raya dan raya tahun depan masih boleh dipakai. 

2. Senaraikan barang keperluan dapur. Jika boleh, senaraikan jenis hidangan yang anda rancang untuk masak pada hari raya pertama dan seterusnya. Jika anda beraya bersama ahli keluarga yang besar, kongsikan saja menu dan sediakan mengikut keperluan keluarga dan tetamu yang bakal berkunjung ke rumah anda.

3. Beli barang keperluan dapur yang kering sahaja dahulu. Seperti sebelumnya, jika anda beraya bersama keluarga yang besar, kongsikan menu dan bahagikan perbelanjaan. Raya setahun sekali jadi apa salahnya berbahagi belanja? Contoh: abang long beli ayam, abang ngah beli rempah - rempah, kak lang beli ketupat / beras dan seterusnya.

4. Senaraikan barang basah seperti ayam, ikan dan sayur. Tetapkan satu tempat untuk membeli. Dapatkan harga kawalan. Jadi, mudah untuk anda tahu harga dan kawal perbelanjaan. Barang dapur mudah rosak. Jadi, jangan tamak. Beli ikut keperluan. Kebiasaannya, pasaraya besar dibuka pada hari raya kedua. 

5. Jika anda merancang untuk pulang ke kampung, servis dahulu kenderaan dua minggu sebelum pulang beraya. Pastikan anda telah menambah kredit dalam kad Touch n Go. Isi minyak penuh sehari sebelum perjalanan. Ini untuk mengelakkan perbelanjaan lebih untuk kenderaan anda. Jika ingin pulang bersama adik - beradik yang lain, boleh berkonvoi dan berkongsi kenderaan. Bukan saja jimat perbelanjaan, tetapi juga menjalin kemesraan. 

6. Jika anda merancang untuk memberi duit raya kepada ahli keluarga, senaraikan nama penerima. Kemudian, tuliskan nama penerima di setiap sampul. Jadi, anda dapat bajet berapa duit raya yang anda ingin beri dan siapa penerimanya? Untuk duit raya umum yang ingin diberikan kepada anak - anak tetamu anda, tetapkan satu jumlah sahaja. Contoh: RM2 seorang. Duit raya bukan perkara wajib tetapi digalakkan jika anda berkemampuan.

7. Urusan zakat fitrah. Seeloknya anda selesaikan pada awal Ramadan. Banyak manfaatnya. Pihak berkenaan dapat mengagihkan kepada yang berhak lebih awal, urusan juga berjalan lancar dan anda tidak kelam - kabut. Ini satu kewajipan maka anda perlu melakukannya seawal mungkin. 

8. Peralatan rumah. Kita tiada pertandingan rumah tercantik. Cukuplah sekadar rumah bersih, selesa untuk menerima tetamu dan kemas. Tukar langsir atau basuh langsir seminggu sebelum raya. Tidak perlu beli yang baru. Tidak perlu tukar perabot. Bersihkan saja. Peralatan dapur juga. Guna saja yang lama. Tetamu tak masuk dapur untuk lihat peralatan memasak anda. 

9. Kumpulkan pakaian terpakai dan beri kepada sesiapa yang memerlukan. Anda membantu orang lain untuk tidak berbelanja lebih kerana kekangan kewangan. Tak salah pun. 

10. Kuih raya. Cukup 5 jenis kuih saja tetapi kuantitinya mencukupi untuk tetamu yang hadir. Jika beraya bersama ahli keluarga yang besar, kongsi saja perbelanjaan kuih raya. Seorang beli satu jenis kuih. Lagi bagus kalau boleh buat kuih raya bersama - sama. Kongsi perbelanjaan membeli bahan. Senaraikan jenis kuih dan bahannya. Pastikan anda mahir memasaknya. 

Itu sahaja tips yang dapat saya kongsikan. Bulan Ramadan bulan meraih keredhaan Ilahi, bulan ibadah. Jangan dicemari dengan perbuatan pembaziran. Anda mampu mengubahnya. 
Saya bukan pakar kewangan tetapi saya mahu mengajak anda berbelanja secara berhemah. 


Nurul Syahida Hassan
15 Jun 2017
20 Ramadan 1438H

No comments: