18 Mar 2017

18 MAC 2017 PENUH MAKNA

Hari ini
18 Mac 2017
tarikh yang penuh bermakna buat saya.

Kenapa?

Kerana pada tarikh ini, 45 tahun yang lalu, mak kepada mama saya bertarung nyawa untuk melahirkan insan yang kini menjadi ibu saya selama 27 tahun.


Alhamdulillah. Semoga mama sentiasa sihat dan berada dalam rahmat Tuhan Yang Maha Esa.

Untukmu, mama Basirah binti Che Awang, sajak ini dedikasi khas buatmu. Penghargaan atas setiap pengorbananmu, kasih sayangmu yang tidak berbelah bagi dan budimu membesarkan anak - anakmu. Hanya Allah yang mampu membalas segalanya.


HATI BONDA

Setiap keringat yang menitik
Membasahi bumi
Menyuburkan benih - benih kasih
Sehingga tumbuh sebuah pohon budi

Hati seorang bonda
Tidak rapuh seumpama kaca
Tidak usang dimamah usia
Tidak layu menanti hari

Hatimu, bonda
Sentiasa menyinar bak rembulan
Secerah mentari 

Tiada keluhan, tiada culas
Setiap umurmu meniti usia anakmu
Setiap kudratmu menaungi kudrat anakmu
Setiap lukamu menutupi luka anakmu
Setiap dukamu menyapu duka anakmu

Hatimu, bonda
Tidak terbanding, tiada tara
Apa - apa yang ada di hatimu, tiada yang tahu
Hanya Tuhan yang tahu
Segala yang tersirat dan tersurat di kalbumu

Bondaku, 
Sungguh berharga hatimu
Tidak terbayar walau emas sepuhan menjadi cagaran
Semoga Jannah menjadi ganjaran terbaik buatmu.

Nurul Syahida Hassan
1 Mac 2017
Shah Alam


No comments: