20 Mar 2017

BUKU OH BUKU

APA NAK JADI DENGAN INDUSTRI BUKU KITA DI MALAYSIA?
Saya terpanggil untuk berkongsi satu catatan daripada Tuan Abdul Muati Ahmad daripada Universiti Putra Malaysia berkaitan industri perbukuan di Malaysia dan sejauh mana usaha kita untuk memantapkan industri buku sehingga kita mampu melahirkan masyarakat yang cerdik pandai?


"Assalamualaikum. Coretan tengah hari Khamis 17.3.2016

UNESCO telah menetapkan dalam usaha kita nak menjadi negara maju, kita hendaklah menerbitkan buku sebanyak 1% daripada jumlah penduduk. Jadi jika penduduk Malaysia ini seramai 27 juta, maka 1% daripada 27 juta ialah 27,000. Ertinya berdasarkan ketetapan UNESCO itu Malaysia hendaklah menerbitkan 27,000 judul buku setahun. Laporan Majlis Buku Negara tahun lalu (2015) kita hanya berjaya menerbitkan sekitar 17,000 judul, termasuk yang diulang cetak. Masih jauh daripada sasaran kita nampaknya. Tujuan UNESCO ini ialah supaya apabila sesebuah negara menjadi negara maju maka rakyatnya hendaklah mempunyai ilmu pengetahuan.

Sesuai pula dengan kedudukan negara kita seperti yang diwar-warkan sebagai negara Islam model, perintah pertama Allah Taala kepada kita melalui ayat yang pertama (Iqra') ialah perintah supaya kita membaca. Apabila disuruh membaca, ertinya mesti ada yang menulis.

Soalnya siapa yang nak menulis? Kita ada lebih kurang 2,400 profesor di negara ini. Jika setiap profesor kita menghasilkan satu buku setahun, kita sudah ada 2,400 buku. Selainnya boleh diterbitkan oleh pensyarah yang belum menjadi profesor, guru, pendidik, pendakwah, penulis2 sastera, novelis, orang awam yang berkebolehan dan sebagainya. Pendek kata setiap warga yang berkemampuan menulis perlu berganding bahu menghasilkan penerbitan buku ini. Ini sejajar dengan usaha murni untuk menghasilkan masyarakat berpengetahuan atau k-society.

Kenapa cendekiawan di menara gading kita kurang berminat menulis buku? Sebabnya universiti kita lebih cenderung untuk mengiktiraf penerbitan dalam bentuk makalah jurnal, khususnya bagi bidang bukan sains sosial dan kemanusiaan.Maka menerbitkan buku tidak menjadi fokus utama para pensyarah. Apatah lagi menulis dalam majalah dan bahan bacaan popular yang menjadi tatapan utama rakyat biasa.

Saya ingat lagi sewaktu di bangku sekolah dalam tahun 70an dulu, antara bahan yang kerap dirujuk murid sekolah ialah majalah Mastika. Majalah tersebut mengandungi banyak bahan bacaan ilmiah yang sesuai dibaca murid sekolah. Penyumbang artikel terdiri daripada guru dan ahli akademik dari universiti. Kini ahli akademik tidak lagi menyumbang artikel dalam majalah2 sedemikian kerana tidak diambilkira sebagai penerbitan akademik. Maka demi survival majalah seperti Mastika terpaksa mengubah arah dengan menerbitkan bahan2 tahyul untuk menarik pembaca.

Bayangkan apa akan jadi kepada masyarakat negara ini khususnya generasi muda. Sudahlah filem dan program TV yang ditonton kebanyakannya tahyul. Bahan yang dibaca juga tahyul dan hiburan semata2. Apa akan jadi dengan usaha pembentukan pemikiran rakyat? Bolehkah kita menjadi negara maju jika pemikiran rakyat masih lagi di tahap dunia ketiga yang sarat dengan hedonisme dan tahyul? Atau kita memang tidak mahu rakyat berkebolehan berfikir?"

No comments: