24 May 2017

KOMEN PENYUNTING UNTUK KHALIFAH YANG TERTANGGUH

ULASAN ANTOLOGI KHALIFAH YANG TERTANGGUH
PENGULAS: MANJA LELA



1. MENGEJAR BAYANGMU
PENATIMUR
Antara cerpen terbaik di dalam antologi kekeluargaan kali ini. Isu dan nilai kasih sayang yang sarat, benar-benar menyerap ke jiwa penyunting/pengkritik. Juta tahniah penulis kerana membawa saya ke daerah sendu! 
Gaya penulisannya jelas menampakkan penulis sudah biasa bermain tinta pena, menyentuh nubari! Plotnya digabungjalin dengan baik. 
Sarat dengan emosi, rencam jiwa seorang lelaki separuh usia bergelar Pak Man yang sangat menyayangi cucunya. Bencana telah merampas keturunannya, satu-satunya anggota keluarga yang dia ada. Bayangkan, jika anda harus menjadi seorang tua, hidup sendiri tanpa ada siapa-siapa lagi bersama anda,kecuali anda sendiri? 
 Takdir Dia, siapa menduga? Siapa mau mencabar pula. Pak Man dan harapannya berpisah tiada. Cucu yang dihanyut arus, akankah kembali pada Pak Man akhirnya? Takdir ilahi, bagaimana Pak Man menanggapinya?
Tidak banyak yang ingin saya perkatakan selain, tahniah sekali lagi!

2. 2. SELUAR JEANS BIRU
Sebuah cerpen yang amat unik sebenarnya. Ia dimulakan dengan sebuah jebakan soalan, sesuai dengan tajuknya, “Siapakah pemilik seluar jeans biru,” dan “ada apa dengan seluar jeans biru?”. 
Cerpen ini berkisar tentang kesalahan lalu yang dilakukan seorang pemuda bernama Ariffin, hingga mengasaknya ke dinding masalah, menggantung dan hampir mencalar maruahnya; maruah yang asalnya berlaku atas khilaf lalu. Kerana gelojak nafsu, Ariffin bersekedudukan dengan seorang gadis belasan tahun! Sang ayah yang kasih terhadap anak gadisnya, nekad menghantar pendosa ke kandang kehakiman. Namun hati ayah, ketika Ariffin insaf akan perbuatan, mahu menanggung kesalahan, berniat untuk memaafkan. Biarlah Tuhan yang memberi pembalasan.
Tak berakhir di situ, Ariffin terheret dan hampir terhambur aibnya kerana kes tetap tidak digugurkan, walaupun dipinta oleh sang ayah. Siapa mahu kisah peribadi anda dicanang-canang pada khalayak? Sorotan lensa kamera wartawan yang gemar menyelongkar berita panas, yang gemar membuka dan mencari aib tak mengenal manusia. Episod cemas, kasih sayang Ariffin terhadap gadis yang menjadi isterinya, serta tangisan sang anak meruntun jiwa. Seluar jeans biru, ada bukti atas segalanya. Hampir segalanya.

3. 3. MELIRIK KASIH
ALANG BUDIMAN
Cerpen ini mengajak pembaca menyelami jiwa Ayuni, seorang anak yang ditinggal mati, lalu kemudiannya dijaga oleh ayahnya. Tugas ayah tidak lagi sebagai ayah semata, sebaliknya berkejar mencari wang, pada masa sama menjadi orang tua yang baik. Ayuni tidak lagi hidup sebahagia dulu, dapatkah seorang ayah menggantikan tugas ibu yang tak kenal putus asa melayan kerenah anaknya? Ayuni pula, tidak banyak yang dia pinta. Bukan harta berjuta, tapi cukuplah kasih sayang yang pernah dulu dirasa. 
Nilai kemanusiaan adalah teras utama cerpen ini. Mengejar material lalu mengabaikan kemanusiaan bukan alasan untuk melastik bahagia. 
Gaya penulisannya pula tidak meleret dan mudah dihadami. Emosi yang dicurahkan sampai kepada pembaca. Jiwa Ayuni harus dilentur halus, bukan dipatahkan.

4. SAYANG BUYA, KASIH UMIE
DEANA APRIL
Kalau melirik Kasih karya Alang Budiman mengisahkan kehilangan seorang ibu, Karya Deana April pula tak kurang hebatnya dengan epilog pilu yang menimpa Dina dan adik beradiknya. Mereka kehilangan ayah, yang digelar ‘buya’. Buya yang sangat dikasihi meninggalkan anak-anak kecil ini, menyerahkan tanggungjawab membesarkan dan mendidik ke telapak tangan ibu mereka. Kehilangan dan maut akan menimpa sesuai masa dan ketikanya. Kini terpulang pada umie, mencorak dengan tinta derita, atau mencipta bahagia.

Pemilihan kata-katanya biasa-biasa saja tapi gramatis. Bererti, penulis tidak kekok dalam memilih diksi. Pengolahan emosi juga, mampu menjebakkan pembaca pada daerah luka; tidaklah hiperbola. Tahniah penulis.
5. LYDIA SOFHEA WILLIAMS
ENGKU MUZAHADIN
Unik. Fesyen tema yang sedikit berlainan. Isu yang dibangkitkan ialah ‘sial’. Suatu perkataan yang disebutkan pun melahirkan konotasi yang jelek. Penulis mencatatkan kronologi sialnya seorang gadis bernama Lydia Sofhea Williams dengan agak baik. Hubungan kekeluargaan yang cuba dipugar juga bukanlah terhadap keluarga kandungnya, tetapi lensa naratifnya lebih berfokus kepada keluarga sahabatnya, penerimaan sahabat dan familinya, menerimanya jauh lebih baik daripada keluarganya sendiri. Bahkan tidak dijentikpun dengan perasaan intrinsik negatif yang membeban pundak gadis kacukan itu.

Pemerian juga dicatatkan dengan baik, penulis sudah agak biasa bermain dan memilih kata.
6. KHALIFAH BUATKU
HALIJAH TUKIRAN
Anak-anak jangan dibezakan. Hatta mereka daripada uri yang sama sekalipun, fiil dan tabiat tidakkan sama. 
Persoalan ajal. Jangan pernah menyangka hanya yang tua akan pergi dahulu. Tentang kasih sayang, banyak manusia sukar meluahkannya dengan perbuatan, lalu interpretasi ‘sayang’ sering disalah anggap dalam kebanyakan situasi.

7. HARI-HARI TERAKHIR TOK WAN
NADZ ZUMIERAH
Pemerian watak Pak Sidek, bersama-sama deritanya diterjemah dengan agak baik oleh penulis. Perincian akan kesakitan yang dialami, kesusahan dan pergolakan dalam sebuah keluarga besar (diangkat oleh watak-watak antagonis dan protagonis merias atmosfera konflik di dalam cerpen ini. Pengajaran yang luhur diselitkan dalam cerpen sebegini. Gaya penulisannya santai dan segar, penulis tidak kaku dalam mengangkat keunikan loghat utaranya.

8. MASIHKAH KAU INGAT
NOORLAILA GHAFAR
Penukangan cerpen kali ini meletakkan ‘Rabin’ sebagai watak utama. Awalnya, saya tertanya-tanya siapakah Rabin kalau ‘dibaca’ pada namanya. Melayu atau seorang penduduk peribumi? Yalah, namanya seolah-olah memaksudkan begitu. Rupanya silap telahan saya. Rabin ialah seorang bukan Melayu. Dia seorang India. 
Percintaan Rabin dengan seorang gadis melayu bernama Siti Aminah jeda di simpang jalan dek kerana beza agama dan bangsa. Permainan takdir yang seolah-olah melakar sempadan. Ingatan Rabin digugah tatkala menatap sekeping gambar, nun 40 tahun ke belakang. Melempar Rabin ke jurang silam. Pahit manis berbaur. Bagusnya, penulis mengingatkan pembaca agar berbuat baik pada orang tua, walau siapapun dia. Rabin disebut sebagai pelajar terbaik SPM untuk matapelajaran sejarah dan kesusasteraan Melayu. Rabin juga mengambil mata pelajaran Pendidikan Islam. Wow! Rabin membuktikan bahawa bangsa apapun boleh mencipta sejarah asalkan dia berusaha. Oh, ini mengingatkan saya (penyunting) kepada penulis bukan melayu yang melakar nama mereka di dinding sastera; Lim Swee Tin, Jong Chian Lai; (sekadar menyebut beberapa nama). Apa yang mengesankan saya ialah ideologi kebebasan non-liberal, dan sikap saling menghormati serta keterbukaan yang harmoni sampai ke hujung cerpen ini.

Penulis agak peka dalam mengramatis dan mengindahkan ayat, menampakkan penulis suka menulis atau membaca.
9. KENAPA AKU DIBUANG?
NOR CAHAYA
Tahniah! Cerpen mampu memerangkap perasaan dalam vakum pilu. Pemilihan kata yang mudah, lancar, sarat berisi pengharapan sudah tentunya membiaskan rasa seorang/atau sesuatu yang tidak diterima/ditolak daripada kehidupan yang membuangnya. Begitu yang boleh dibaca melalui tajuknya. 
 Aisyah, ialah seorang anak kecil yang dibuang keluarga pada usia empat tahun, lalu cubalah dia meraih kasih dan empati daripada Umi Umai, Pengetua Rumah Anak-anak Yatim Nur Kasih. Selama enam tahun dia di rumah itu, tanpa pernah dijenguk keluarga, apa salahnya? Persoalan demi persoalan kadang-kadang menjebak Umi Umai, bagaimana mahu menenangkan jiwa anak kecil yang bercempera itu? Bagaimana dia mahu memberitahu anak itu bahawa ibunya meninggalkan dia, gara-gara mahu menikah lagi, dan dia tidak boleh menjadi perosak rumah tangga ibunya? Apakah masih ada kemaafan pula buat sang ayah yang datang tiba-tiba pada ketika rindu bergayutan di hati?

Tidak banyak yang disunting daripada cerpen ini, ianya sudah ditulis dengan baik sekali. Kesalahan tatabahasa juga minima, bahkan dipilih buah bahasanya daripada yang muluk-muluk belaka. Terima kasih penulis kerana tidak menyukarkan penyunting. 
10. POTRET 
TENGKU SHAHIRAN TENGKU RUSLAN
Anak-anak itu mak bapa yang corakkan. Celupan itupun pada kebiasaannya mak bapa yang lakukan. Bila peristiwa lampau terpotret di kamar memori, pasti kita tak boleh lupakannya,terutama hal-hal silam yang suka menjengah fikiran bila-bila ia suka. Yalah, bagaimana mak bapak mendidik kita, susah payah, pahit getir, jerih maung. Seringkali cara didikan mereka membuatkan kita keliru antara dua jenis pilihan, jadi seperti mereka (mak bapak kita dulu-dulu), atau tak jadi macam mereka (kalau mak bapak hidup susah, kita cuba hidung senang, kalau mak bapak miskin, kita cuba jadi kaya.). Pilihan ketiga pula variable, jadi seperti mereka tapi kita upgrade jadi lebih baik.

Dan hal inilah yang merunsingkan Izzaty dan suaminya. Dia tidak mahu anak-anak hidup membesar dalam kemiskinan dan keperitan sepertinya dulu. Tapi manusia pula, apabila dihadapkan dengan kesenangan,mudah lupa diri. Izzaty takut cara didikannya salah. Jalan mana yang dia harus ikuti sebenarnya; itulah yang memeningkan. 
Cerpen ini hakikatnya naratif yang sering berlaku kepada kebanyakan orang. Tapi perkara yang menyenangkan saya ialah, Izzaty dan suami membuat keputusan yang tepat, mereka tidak mahu lalai, dan memilih agama sebagai ‘denai menuju taman berbunga’. Konflik yang berlaku antara keluarga mereka dan Mak Su, adik ibunya pula berkisar soal harta, soal tanah. Manusia sering berbalah dan memutuskan pertalian kerana harta. Cerpen ini walau sarkastik tapi memberi pengajaran pada pembaca. Tahniah penulis.

11. SAHABAT SELAMANYA
NURIMAS
Kematangan ditukil dan dapat dibaca ketika menyeluruhi cerpen ini. Tidak pernah menjemukan saya untuk cuba membuka kamus, menelah maksud kata. 
Saya kira ianya sebuah cerpen yang indah dan ditukang dengan baik. Tahniah penulis!
Saya suka pada cerpen ini, pada ketika ia cuba membuktikan bahawa sahabat juga boleh menjadi keluarga yang akrab dan menyokong, meskipun tidak terjahit dengan benang darah kekeluargaan. Apa yang berlaku kepada Citra dan Balqis benar-benar memberi sebuah pengertian. 
Senangnya mencari kawan, tapi susahnya mencari teman rapat. Persahabatan dua sahabat ini umpama sudah dicanangkan untuk sehidup semati, tidak mungkin akan terpatah. Tapi biasalah dalam hidup, konflik pasti datang tanpa salam. Peleraian dalam konflik ini menjadi kegemaran saya. Sesuatu yang tidak dijangkakan, yang membibitkan semula kerinduan seorang sahabat yang lama terpisah.

12. RINDU MAMA
SHITA MUNIR
Bagaimana ya saya mahu sebutkan. Cerpen ini hakikatnya biasa-biasa saja, pada awal saya membacanya. Akan tetapi apabila saya menyeluruhinya, ada sesuatu mengesani saya. Peristiwa dan penceritaan yang kelihatan biasa inilah yang rupanya membuatkan ianya istimewa. Sesuatu, mengusik perasaan saya. Perasaan bersedia tapi takut menghadapi ... KEHILANGAN. 
Wajarlah pasangan yang sudah lama menginginkan zuriat sangat memerhati dan menjaga zuriat yang dikandung. Wajarlah kebajikan, keselamatan, kesihatan, pemakanan, ah serba serbi harus sempurna. Bukankah sudah lama kelahiran ini dinantikan. Tapi kerisauan ini menyebabkan sesuatu yang lebih kronik, OBSES. 
Enam tahun bukan sekejap. Setelah puas berusaha, akhirnya Nadia lahir. Mengisi lompang hidup yang siang malam berharap dan berdoa. Sakitnya hati apabila orang-orang bertanya tentang tubuh yang tidak berisi. Pedihnya jiwa apabila orang sekeliling yang baharu mendirikan cahaya mata, terlebih awal menimang bahagia (anak). Tapi itulah ujian dan takdir buat dirinya, watak ‘Aku’ yang ditulis penuh emosi. Emosi lazim seseorang yang menginginkan anak. 
Dijaga, ditatang, Ditakuti akan sesuatu menimpa dirinya meskipun yang disayang berada di depan mata. Maut tetap menyambar . Ia takdir yang tak terpisah dari kehidupan. Saya terbawa-bawa, larut di dalamnya.

13. KERANAMU NASI LEMAK
SYAHIDA HASSAN
Benarlah kata orang, masakan emak juga yang memikat hati. Bayangkan, perpisahan selama sepuluh tahun akhirnya bersatu dek kerana nasi lemak yang seolah-olah mengandungi ‘sesuatu’. Nasi lemak yang sering digilai sejak lapan bulan yang lalu. Ia bukan perasaan biasa, tetapi rupa-rupanya perasaan kasih seorang anak yang merindui emak kandungnya sendiri. Bahkan, nasi lemak itu turut menjadi santapan buat ayahnya. 
Pandai penulis bermain teka teki. Diawali cerita naratif tentang ayah dan ibu kepada Farah yang berpisah dua tahun lalu, menyebabkan jiwa sang ayah dirundung murung. Lalu penyunting bertanya-tanya, ‘habis, siapa penjual nasi lemak itu? Ibu kandung? Ibu tiri? Ibu angkat barangkali?’ Apa kaitannya dengan Farah. Pertanyaan sebegini menyebabkan sifat inkuiri pembaca rasa menggelodak. 
Tajuknya nampak sederhana, penceritaannya relax dan bersahaja, tapi impak emosinya berganda.

14. PERAIH SYURGA
TUN TEJA
Jihad menuntut ilmu di negara orang bukanlah perkara mudah. Apatah lagi berjauhan daripada orang-orang yang disayangi; mak , bapa , adik beradik, sanak saudara; ia perkara tersukar sebagai pengembara ilmu. Hanya telekomunikasi saja sebagai asbab memujuk rindu. Ketika suara ibu di corong telefon, hati rasa terkinja-kinja mahu memeluk, dicium tangannya. Dan bayangkan, di kejauhan itu, khabar buruk menimpa. Sebuah kematian.
Fatin menuntut di Makassar, hidup berdikari. Ketika menerima berita kematian orang tuanya, Fatin diam. Tidak berbunyi, bahkan tidak mempotretkan sebarang emosi. Tenangkah dia? 
Kata penulis, “Tidak ada setitis air mata pun yang tumpah dari tubir mata Fatin.” 
Kuatkah Fatin? Atau ada sesuatu yang menghenyak batinnya, hingga dia tidak beremosi,tidak bersuara? Atau kelihatan hanya begitu, tapi hatinya? Bahkan Fatin boleh meneruskan pengajiannya, pada masa sama bekerja sambilan di sana. Kebenaran nyata menyakitkan, mencari kerja dan belajar; itu hanya hujah Fatin untuk menguburkan rindu. Sakitnya tak bertepi. Dan ada suatu ‘ rindu’ yang hakikatnya telah Fatin sembunyikan. Rindu yang jauh lebih besar daripada segala-galanya. Rindu yang apabila dilunaskan, maka jiwa akan reda. 
Penulis dalam cerpennya mengajar erti semangat setiakawan yang luar biasa, persis darah daging. Berada di tempat Fatin, penulis dapat rasakan sedih dan perih jiwanya.

15. YANG TERTANGGUH
ROSE ALEYNA

Sengaja saya tempatkannya sebagai cerpen terakhir dalam antologi kekeluargaan kali ini. Ia meruntun jiwa saya, menghempas syahdu ke lembah pilu, bahkan mengurung saya ke kamar muhasabah. Besarnya kasihmu wahai orangtuaku. 
Cerpen ini mempunyai kekuatan yang tersendiri. Pemilihan butir-butir katanya romantisme pilu. Biasan kolam hati seorang manusia bergelar anak, yang sangatlah rindu pada ayah kandungnya. Dek gelodak rindu dan kasih sayang, sang anak hanya memerhati dari jauh, oh apakah yang lebih pilu dari itu? Melihat, tapi tak mampu dicecap. Menatap, tapi tak dapat dirasa. Terima kasih pada penulisnya, mengajar saya erti kemaafan dalam rangka dunia penulisan yang indah ditenun bait katanya.

No comments: