15 Jul 2017

MENANG ULASAN NOVEL SRENGENGE DI BACA PRESS

Alhamdulillah. Indahnya pagi apabila menerima berita baik daripada Tuhan yang Maha Esa. Penyertaan saya dalam pertandingan ulasan buku anjuran Baca Press untuk novel telah memenangi HADIAH wang tunai RM100.

Saya kongsikan ulasan tersebut di sini.

Novel: Srengenge
Karya: SN Shahnon Ahmad
Pengulas: Nurul Syahida Hassan

ULASAN NOVEL SRENGENGE KARYA SASTERAWAN NEGARA SHAHNON AHMAD
Oleh: NURUL SYAHIDA HASSAN

Novel Srengenge hasil tulisan Sasterawan Negara Shahnon Ahmad merupakan sebuah karya yang menyentuh isu masyarakat kampung yang percaya akan semangat atau penunggu di Bukit Srengenge. 


Pada pendapat saya, novel ini berjaya mengangkat cara hidup masyarakat pada masa itu yang masih percaya kepada perkara karut. Tidak dinafikan, ajaran Islam sudah bertapak apatah lagi watak utama dalam novel ini iaitu Awang Cik Teh dan Imam Hamad merupakan individu yang berpegang kuat kepada ajaran Islam tetapi mereka tetap percaya akan adanya benda – benda ghaib yang menguasai kawasan bukit berkenaan sehingga mampu mempengaruhi kehidupan seharian mereka. Perkara ini ditunjukkan ketika Imam Hamad tiba – tiba jatuh sakit. Penduduk kampung percaya Imam Hamad dirasuk oleh ‘semangat’ Srengenge.
Penulis juga berjaya menonjolkan watak Awang Cik Teh yang mempunyai perwatakan yang positif dan berdaya maju kerana keinginannya yang mahu memugar Bukit Srengenge untuk dijadikan kawasan pertanian. Walaupun hasratnya ditentang keras oleh penduduk kampung, beliau tetap berkeras dengan keputusannya.
Novel Srengenge masih mengekalkan ciri – ciri kemelayuan dalam penulisannya. Teknik penulisan yang digunakan oleh penulis telah berjaya membawa pembaca hanyut dalam pembacaan mereka sehingga ke penghujungnya.
Namun, di akhir cerita, penulis tidak menguatkan watak dengan pemahaman Islam sebaliknya kepercayaan mereka terhadap semangat Srengenge semakin menebal dengan kematian Imam Hamad. Seharusnya, penulis mengukuhkan iman dalam setiap watak untuk percaya kepada kuasa Tuhan dan redha dengan ketentuan-Nya. Perkara ini ditonjolkan melalui saranan Useng untuk membacakan Yassin kepada Imam Hamad yang sedang tenat dilihat menjadi ikhtiar akhir setelah melakukan upacara ‘menjamu’ semangat dengan ayam golek sedangkan perkara tersebut perlu dilakukan dari awal lagi. Tetapi, saya fikir mungkin penulis mempunyai alasannya yang tersendiri untuk berbuat demikian.
Pengajaran dalam novel ini, jangan sesekali berputus asa, jangan mudah mengalah kepada sesuatu perkara dan terima sesuatu perubahan dengan hati yang terbuka. Keseluruhannya, novel ini merupakan naskhah yang bagus untuk pembacaan semua peringkat umur kerana pengajaran yang terkandung dalamnya. Novel ini turut memberi kesan kepada pembacanya dengan perwatakan watak yang kontra antara satu sama lain.

No comments: