21 Jul 2017

SAMBUTAN AIDILFITRI DI KEMUDI

MALAM SEINDAH BUDI SELUHUR BAKTI


KEMUDI menganjurkan program Majlis Jamuan Aidilfitri KEMUDI pada 22 Julai 2017 bersamaan hari Sabtu bertempat di Pejabat Majlis Kebudayaan Negeri Selangor di No. 11, Jalan Nangka 4/6, Seksyen 4, Shah Alam. Acara berlangsung dari jam 08.00 malam hingga jam 12.00 tengah malam. Sebanyak 100 orang jemputan yang terlibat dalam menjayakan program ini.




Acara dimulakan dengan bacaan doa oleh Da’i Luqman. Doa dimunajatkan bagi memohon kesejahteraan dan dikukuhkan ikatan silaturrahim antara ahli. Acara seterusnya diteruskan dengan Bicara Tokoh oleh Tan Sri Johan Jaafar. Beliau memulakan acara pentas dengan membicarakan mengenai Tokoh KEMUDI yang telah berjasa dalam penubuhan KEMUDI sejak pertama kali ditubuhkan pada 1972 iaitu Dato’ Dr. Mohd Nordin bin Abdul Rahman atau nama penanya Atondra. Walaupun beliau tidak dapat menghadiri majlis ini, namun itu tidak menghalang Tan Sri Johan Jaafar untuk mengenang ketokohan beliau dan emberi ruang kepada ahli KEMUDI yang lain untuk turut serta mengenang jasa individu yang telah berusaha keras dalam memastikan nama KEMUDI terus gah sebagai sebuah persatuan penulis.

Sejurus mengakhiri ucapan beliau, pihak KEMUDI berbesar hati menjemput beliau untuk menyampaikan anugerah tokoh kepada dua individu yang telah banyak menyumbang jasa dan bakti kepada KEMUDI iaitu Dato’ Abdul Samad bin Maharudin sebagai Tokoh Kepimpinan dan Dato’ Dr. Mohd. Nordin bin Abdul Rahman sebagai Tokoh Karyawan.

Selepas penganugerahan, majlis diteruskan dengan acara pentas. Pentas KEMUDI dihangatkan dengan persembahan pertama daripada Sani Sudin; bekas anggota Kopratasa. Beliau mendendangkan tiga buah lagu secara unpliugged. Petikan gitar beliau mempesonakan semua hadirin yang mendengarnya. Persembahan beliau mendapat tepukan hangat daripada semua tetamu.

Seterusnya, persembahan diteruskan dengan acara Baca Puisi daripada ahli KEMUDI iaitu En. Jeffri Zain yang mempersembahkan sajaknya yang bertajuk “Antara Ramadan dan Syawal”. Persembahan ketiga diambil oleh En. Zolkafli Komeng yang membacakan puisi nukilan Nurul Syahida Hassan iaitu Istirahatlah, Pejuang. Puisi tersebut didedikasikan khas buat Allahyarham Saring Sirat yang juga merupakan tokoh KEMUDI yang telah mempelopori KEMUDI pada tahun 1972.

Persembahan tidak terhenti di situ. Kali ini, para penonton disajikan pula dengan persembahan nyanyian daripada Da’i Luqman yang membuat tiga persembahan. Beliau memulakan persembahan dengan deklamasi puisi. Seterusnya, beliau mendendangkan dua buah lagu iaitu Ke Makam Bonda dan Keagungan Cinta-Mu. Para penonton terpukau dengan nyanyian beliau yang menusuk kalbu.

Selesai persembahan, acara diteruskan dengan penyampaian Anugerah Khas kepada veteran KEMUDI yang telah banyak berjasa sejak penubuhan KEMUDI. Anugerah ini diberikan secara berperingkat sebagai tanda penghargaan KEMUDI kepada veteran KEMUDI yang telah banyak menabur bakti dalam menaikkan nama KEMUDI. Anugerah disampaikan oleh Dato’ Abdul Samad bin Maharudin diiringi oleh Yang Di Pertua KEMUDI; Tuan Zainal Mohd Jais. Anugerah disampaikan kepada Tn. Hj. Saihani bin Paniti atau nama penanya S. Panit. Dua orang tokoh lagi tidak dapat menghadirkan diri atas faktor keuzuran iaitu Hj. Baharom Basar dan Hjh Salmiah Mat Saman.

Acara diteruskan dengan gimik sempena sambutan ulang tahun penubuhan KEMUDI ke – 45. Acara gimik tersebut ialah acara memotong kek pulut kuning yang disempurnakan oleh Yang Berbahagia Yang Di Pertua KEMUDI; Tuan Zainal Mohd Jais, Yang Berhormat Dato’ Abdul Samad Maharudin, Yang Berhormat Tan Sri Johan Jaafar dan Yang Berhormat Dato’ Zainal Abidin; Ketua Satu GAPENA. Sejarah dilakarkan bersempena 45 tahun penubuhan KEMUDI.

KEMUDI juga tidak melupakan jasa ahli jawatankuasa terdahulu yang turut membantu dalam menggerakkan KEMUDI dan menjayakan serta merealisasikan misi dan visi KEMUDI. Ahli – ahli jawatankuasa yang dihargai diberikan sijil penghargaan. Sijil disampaikan oleh Dato’ Abdul Samad diiringi oleh Yang Di Pertua KEMUDI; Tuan Zainal Mohd Jais kepada Dato’ Abdul Samad selaku mantan Yang Di Pertua KEMUDI, Dr. Hj. Ahmad Razali bin Yusoff sebagai Naib Yang Di Pertua KEMUDI, Hj. Ahmad bin Sarju, Hj. Ismail bin Supandi, Puan SIti Hajar bin Mokhtar, En. Mohd Khairi bin Ahmad, Cik Rusilah binti Simon, Puan Norasma binti Wan Abib, En. Hassan Mat Isa, Khairul Anuar, En. Haidzir Sham bin Hj. Masngat, En. Amer bin Mat Som, dan En. Amin bin Minhad. Beberapa ahli jawatankuasa tidak dapat menghadiri majlis ini atas sebab peribadi iaitu Tn. Hj. Badrilah; mantan Bendahari KEMUDI, Puan Noor Syuhaida Zamberi; mantan Setiausaha KEMUDI dan En. Mohd Rous Din.

Sebelum menyambung semula acara pentas, pihak KEMUDI menyampaikan hadiah penghargaan kepada Tan Sri Johan Jaafar atas kesudian beliau membicarakan mengenai tokoh KEMUDI iaitu Dato’ Dr. Mohd Nordin bin Abdul Rahman. Selepas menyampaikan anugerah, Dato’ Abdul Samad dijemput ke pentas untuk memberikan sedikit ucapan dan amanat kepada semua hali KEMUDI. Beliau mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada ahli jawatankuasa KEMUDI yang telah bertungkus – lumus menganjurkan majlis yang amat bermakna ini.

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada semua tokoh KEMUDI dan juga ahli KEMUDI yang tidak henti – henti menabur bakti untuk kelangsungan KEMUDI. Buktinya, KEMUDI telah 45 tahun memartabatkan dunia sastera dan telah melahirkan ramai karyawan dalam dunia sastera dan perbukuan. Beliau memacukan semangat kepada semua ahli KEMUDI untuk terus berkarya dan berbakti kepada persatuan dan tidak mengharapkan nama atau gelaran. Lakukan dengan ikhlas dan berterusan. Beliau menyeru kepada semua ahli KEMUDI untuk terus memartabatkan sastera Melayu. Beliau juga turut menyarankan kepada ahli KEMUDI untuk menerbitkan karya dedikasi khas untuk tokoh KEMUDI.

Malam Seindah Budi Seluhur Bakti ini diakhiri dengan persembahan puisi daripada Dato’ Radzuan Ibrahim atau nama penanya; Wan Razuhar. Persembahan puisi beliau melalui dendangan lagu menghiburkan para tetamu. Gemersik alunan suaranya dan bait – bait liriknya mengundang senyum di bibir setiap hadirin. Penutup acara diserikan dengan dendangan seloka Aidilfitri oleh Sasterawan Negara; Dato’ Zurinah Hassan. Dendangan seloka beliau mencuit hati para tamu.


Acara diakhiri dengan acara bergambar. Kenangan dirakam sebagai tanda ukhwah. Kenangan yang pasti mengulit mimpi indah ahli KEMUDI yang hadir dalam majlis ini.










Program ini berjalan dengan lancar dan mencapai objektifnya. Yang Di Pertuan KEMUDI, Tn. Zainal Mohd Jais menzahirkan rasa kesyukuran atas kejayaan program ini dan berharap agar majlis seumpama ini dapat dilaksanakan pada masa akan datang sebagai aktiviti persatuan. Beliau turut mengucapkan tahniah dan penghargaan beliau kepada semua ahli yang terlibat dalam program ini sama ada secara langsung mahu pun tidak langsung.

1 comment:

Unknown said...
This comment has been removed by the author.