17 Sept 2017

SAYEMBARA DEKLAMASI PUISI HARI KEBANGSAAN




KEMUDI menganjurkan program ‘SAYEMBARA DEKLAMASI PUISI HARI KEBANGSAAN KE - 31’ pada 16 September 2017 bersamaan hari Sabtu bertempat di Pejabat Majlis Kebudayaan Negeri Selangor di No. 11, Jalan Nangka 4/6, Seksyen 4, Shah Alam. Acara berlangsung dari jam 09.00 pagi hingga jam 06.00 petang. Seramai 26 orang peserta telah terlibat dalam menjayakan program ini.
Peserta mula hadir untuk pendaftaran seawal jam 08.00 pagi. Setiap peserta diberikan nombor giliran mengikut waktu kehadiran. Acara dimulakan dengan taklimat pertandingan daripada Ketua Juri; Tn. Hj. Ahmad bin Sarju pada jam 08.30 pagi. Pertandingan peringkat saringan dimulakan tepat pada jam 09.00 pagi.
Seramai 26 orang peserta memulakan peringkat saringan yang diadili oleh barisan juri yang berpengalaman dalam bidang pendeklamasian puisi. Juri – juri yang diamanahkan untuk menghakimi setiap peserta termasuklah Tn. Hj. Ahmad bin Sarju sebagai Ketua Juri, Tn. Hj. Ismail bin Supandi dan Dr. Solihin Osman. Para peserta diwajibkan mendekalamasikan puisi daripada Antologi Puisi Lentera Zaman terbitan GAPENA. Mereka dinilai dari aspek kawalan vokal, bahasa pertuturan, penghayatan sajak dan teknik persembahan.
Peringkat saringan berjalan selama dua jam tiga puluh minit. Kesemua peserta menunjukkan bakat dan kesungguhan mereka menyampaikan puisi dengan cara tersendiri. Lontaran suara memukau para juri. Setelah tamat peringkat saringan pada 11.30 pagi, semua peserta dibenarkan untuk berehat sehingga keputusan diumumkan pada jam 02.00 petang.
Tepat jam 02.00 petang, acara diteruskan dengan Pertandingan Deklamasi Puisi peringkat akhir. Sepuluh (10) peserta yang Berjaya ke peringkat akhir diumumkan. Mereka yang Berjaya layak ke pusingan akhir ialah Nor Hafuza Muhammad Arif, Noor Sharina Cik Ibrahim, Ahmad bin Harun, Muhammad Nazli Mohd Shafiei, Noorhisyam Razali, Siti Fatimah Abdul Ghani, Anna Kartini Ahmad Lotfi, Syafiq Zulakifli, Fauziah Ismail dan Khadijah Ishak. Kesemua sepuluh peserta tersebut diminta mencabut undi giliran mereka.
Pertandingan akhir dimulakan pada jam 02.40 petang dengan dimulai oleh Nor Hafuza Muhammad Arif dan berakhir pada jam 03.30 petang. Acara diteruskan dengan ucapan aluan daripada YDP KEMUDI; Tn. Zainal Mohd Jais. Kemudian, acara perasmian diteruskan oleh Datuk Hj. Zainal Abidin Borhan selaku Ketua Satu GAPENA. Dalam ucapan beliau, beliau menzahirkan rasa bangga dengan kata – bakat baru yang berani untuk tampil ke depan dan bersemangat mendeklamasikan puisi bertemakan ‘Kemerdekaan’. Beliau berharap agar objektif sayembara ini dianjurkan dapat menjadi kenyataan.
Sementara menanti pengumuman juri, penonton disajikan dengan persembahan deklamasi sajak daripada Hassan Tongkat Ali yang membawa sajak bertajuk Cinta. Penonton terhibur dengan persembahan yang bersahaja itu.
Keputusan akhir diumumkan oleh pengacara majlis. Ternyata, Membaca Merdeka telah membawa tuah kepada Nor Hafuza Muhammad Arif apabila beliau telah Berjaya menyandang gelaran Johan Sayembara Deklamasi Puisi hari Kebangsaan ke-31 peringkat Negeri Selangor. Beliau telah mengalahkan lawannya, Nur Sharina Cik Ibrahim yang mendapat gelaran Naib Johan dengan puisi Ladang Kebebasan. Tempat ketiga menjadi milik Noorhisyam Razali yang mendeklamasikan puisi ‘Tunas Pahlawan’.
Dua tempat lagi menjadi milik Ahmad bin Harun untuk sajaknya Merdekakah Kita dan Khadijah Ishak untuk persembahan sajaknya yang bertajuk Ladang Kebebasan. Pihak KEMUDI turut menyampaikan sijil penyertaan dan ANtologi Puisi Bahtera ii terbita KEMUDI kepada semua peserta.
Johan membawa pulang wang tunai RM300, trofi, sijil dan hadiah sumbangan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Tengah. Naib Johan pula mendapat wang tunai RM200, trofi, sijil dan hadiah sumbangan DBP Wilayah Tengah manakala Naib Johan memperoleh wang tunai berjumlah RM100, trofi, sijil dan hadiah sumbangan DBP Wilayah Tengah. Pemenang tempat keempat dan kelima masing – masing membawa pulang hamper, sijil dan hadiah sumbangan DBP Wilayah Tengah. Lima orang peserta peringkat akhir diberikan sijil dan hadiah buku puisi Bahtera terbitan KEMUDI.
Dalam program ini, pihak KEMUDI turut membuka kaunter informasi KEMUDI bagi menyediakan maklumat mengenai KEMUDI kepada pengunjung dan juga membuka keahlian baru kepada sesiapa yang berminat untuk menyertai persatuan ini. Kaunter informasi ini dibuka dari jam 09.00 pagi sehingga acara tamat. Pengunjung yang hadir diberikan flyers KEMUDI.
Program ini berjalan dengan lancar dan mencapai objektifnya. Yang Di Pertua KEMUDI, Tn. Zainal Mohd Jais menzahirkan rasa kesyukuran atas kejayaan program ini dan berharap agar kegiatan sastera terus diperkembang dan menjadi warisan kepada generasi muda. Beliau turut menzahirkan rasa bangga dengan penyertaan para peserta yang muda dan bertenaga. Beliau mahu bakat – bakat seumpama ini terus digilap. Beliau turut mengucapkan tahniah kepada para pemenang dan penghargaan beliau kepada semua ahli yang terlibat dalam program ini sama ada secara langsung mahu pun tidak langsung.



PENUTUP

Secara keseluruhannya, Sayembara Deklamasi Puisi Hari Kebangsaan Ke-31 Peringkat Negeri Selangor telah berjalan dengan lancar dan mencapai objektifnya. Namun, terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian dan perlu membuat beberapa penambahbaikan supaya program ini dapat dilaksanakan dengan lebih berjaya. Semua pihak perlu berganding bahu untuk memastikan program seumpama ini menjadi satu medan untuk acara kesenian, kebudayaan dan kesusasteraan.


GAMBAR PROGRAM:






No comments: