22 Mar 2017

BUKU WARISAN MALAYSIA SETUJU DENGAN SARANAN PENGERUSI ITBM

REAKSI

BUKU WARISAN MALAYSIA
16 MAC 2017


Pihak BUKU WARISAN MALAYSIA amatlah mengalu-alukan ucapan Pengerusi Institut Terjemahan dan Buku Malaysia Berhad  YB Budiman Mohd Zohdi di Parlimen ketika membahaskan Dasar Buku Negara yang perlu dimantapkan pengisiannya mengikut peredaran masa terutamanya dalam menjayakan Wawasan TN50.

1. Dasar Buku Negara telah dibentang dalam Kabinet pada tahun 1988. Banyak kejayaan telah dicapai dalam tempoh hampir 2 dekad ini. Dasar ini menjadi asas kepada perlaksanaan pelbagai program industri perbukuan negara. Antara kejayaan adalah penganjuran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur saban tahun. Kejayaan penganjuran ini akan lebih manis dengan pelbagai pembaharuan mengikut peredaran semasa dan bukan sekadar memenuhkan dewan pameran dengan peniaga sahaja. Kebajikan peniaga yang mengambil bahagian perlu dijaga. Pesta jualan lelong buku juga perlu dipantau agar ia dapat menjaga kebajikan semua peserta industri.


2. Dasar Buku Negara juga menekankan perlunya pemain industri menambah nilai estetika pada buku-buku yang berharga dan mempunyai nilai sepanjang hayat sebagai rujukan, koleksi ataupun sejarah. Dasar ini agak dipandang sepi hampir 20 tahun yang lampau sehinggalah pada beberapa tahun kebelakangan ini muncul pemain industri baru yang mula memelihara, memulihara, menerbit semula dan menyebarkan ilmu-ilmu dari pelbagai

manuskrip dan buku-buku nadir serta terpakai di Malaysia. Malah, telah muncul pelbagai kelompok masyarakat yang menggilai karya-karya lampau negara kita yang keahliannya mencecah puluhan ribu pencinta buku. Oleh kerana kelompok ini bergerak secara bersendirian, pihak Buku Warisan Malaysia rasa terpanggil untuk menyatukan semua kelompok ini di bawah suatu gerakan kecil tetapi signifikan dan tersusun agar Dasar Buku Negara yang satu ini dapat direalisasikan seterusnya mengangkat martabat ilmu-ilmu dari manuskrip dan buku-buku nadir yang hebat ini seantero dunia. Sesungguhnya konsep “kedaulatan kandungan” bahan bacaan yang disarankan pihak berkenaan amatlah tepat pada masanya dan perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak.


3. Buku Warisan Malaysia amat prihatin akan keperluan  penghadan penggunaan Kad Debit Siswa 1Malaysia sepatutnya digunakan untuk membeli bahan bacaan demi menambah ilmu yang bermanfaat, sesuai dengan Dasar Buku Negara yang mengharapkan golongan siswa, belia dan remaja untuk sentiasa berdampingan dengan buku.


4. Buku Warisan juga memberi reaksi positif terhadap usul pewujudan Indeks Perbukuan Negara. Justeru, pihak Buku Warisan Malaysia akan sedaya upaya membuat penyelidikan dan pengumpulan data khusus untuk sektor kecil buku nadir dan terpakai di Malaysia agar dapat menjadi rujukan kepada pihak berwajib. Insya-Allah.


5. Buku Warisan Malaysia berharap para pemain industri buku di Malaysia tidak hanya sekadar menulis, menerbit dan menjual buku. Program-program untuk memupuk minat membaca dalam kalangan rakyat Malaysia perlu dipelbagaikan caranya mengikut peredaran masa. Pelbagai program sedia ada perlu diperkasakan dengan wacana, bengkel, diskusi santai, diskusi ilmiah atau simposium tokoh dan buku dan lain-lain lagi untuk memupuk minat membaca. Negara kita sudah banyak pemain industri, namun jumlah dan mutu khalayak pembaca masih perlu dipergiat dan ditingkatkan.


6. Melalui program pendidikan kesedaran peri pentingnya perkongsian ilmu dengan semua lapisan masyarakat selaras dengan Dasar Buku Negara, pihak Buku Warisan Malaysia akan melancarkan program wakaf buku baru dan terpakai, pengumpulan buku baru dan terpakai untuk institusi yang memerlukan, dan juga program pemberian buku terpakai percuma kepada rakyat Malaysia untuk memupuk minat membaca. Insya-Allah.


Buku Warisan Malaysia sentiasa memberi keprihatinan yang tinggi terhadap segala usaha menyemarakkan budaya membaca dan mengamalkan ilmu yang bermanfaat dalam kalangan semua pihak agar Dasar Buku Negara dapat dijelmakan dalam bentuk yang lebih realistik dan menyeluruh. Insya-Allah.


Sekian.


BUKU WARISAN MALAYSIA
16 Mac 2017.

No comments: