25 Mar 2017

MAJLIS PELANCARAN BUKU

MAJLIS PELANCARAN BUKU ANTOLOGI SAJAK DAN CERPEN GURU SUMBER ILHAM & ANTOLOGI SAJAK PATRIOTIK PERTIWI KERSANI

TARIKH: 25 MAC 2017
TEMPAT: LEGASI OAKHEART (#KABO), SEKSYEN 8, BANDAR BARU BANGI.
MASA: 11.00 AM - 03.00 PM

Alhamdulillah. Selesai sudah Majlis Pelancaran  Antologi Puisi Pertiwi Kersani (PK) dan Antologi Cerpen dan Sajak Guru Sumber Ilham (GSI) pada tengah hari tadi, 25 Mac 2017 bertempat di Kafe Buku Oakheart (#KABO), Seksyen 8, Bandar Baru Bangi. 

Seramai 13 orang penukil kedua buah antologi dari pelbagai negeri menghadirkan diri dan sudi melapangkan masa masing-masing bagi bersama-sama merealisasikan majlis yang telah dirancang sejak awal Februari 2017 lagi. Lama juga kami merancang bermula dengan idea suka - suka untuk meraikan penukil Antologi PK sahaja. Kemudian, penyelenggara Antologi GSI yang juga salah seorang penukil dalam PK menyatakan hasratnya untuk menggabungkan PK dan GSI dalam satu majlis. Nampaknya, hasrat yang disambut baik itu tertunai sudah.


Majlis ini telah selamat disempurnakan oleh pendeklamator tersohor negara; Tn. Hj Shukri Abdullah. Acara gimik pelancaran juga disempurnakan oleh beliau. Gementar juga kerana ada yang mneyangka dalam peti ada bom. Rupanya, replika kedua buah buku. pelbagai aktiviti yang dijalankan dalam majlis serba ringkas ini. Dimulai dengan pimpinan doa daripada Da'i Fuad Mokhtar yang sudi hadir memeriahkan majlis.

Kemudian, acara diteruskan dengan sesi bedah karya pula. Selain Hj Shukri Abdullah yang memberikan sedikit ulasan beliau untuk Antologi PK; ia turut disertai oleh Zaen Kasturi untuk Antologi GSI. Pelbagai ilmu yang dikongsi oleh kedua tokoh sastera ini. Kami yang masih mentah dapat menimba pelbagai ilmu walaupun dalam masa yang cukup singkat. 

Sambil makan, sambil kita berhibur. Hidangan istimewa Nasi Tomato memang mengenyangkan. Di tambah pula dengan hidangan nyanyian dan persembahan deklamasi sajak daripada beberapa orang penukil, memang penambah rasa. Suasana semakin gamat apabila urusetia majlis membuat kejutan untuk beberapa penukil yang kebetulan menyambut ulang tahun kelahiran mereka dalam bulan Mac. Hadiah disampaikan oleh Ayahanda Chik Jaffrie kepada tiga insan bertuah iaitu Nurimas SN, Jefri Zain dan Yus Effendy. Mereka bertiga mendapat kejutan kek cawan dan hadiah istimewa sumbangan daripada para penukil. 

Memang tak cukup tangan dibuatnya. Semua penukil dan tetamu jemputan dapat pelbagai hadiah. Ada penanda buku, tasbih, buku doa, dompet dan macam - macam lagi. Lebih meriah adalah acara tukar - tukar buku. Sungguh, majlis ini sangat bermakna buat kami sebagai penulis. bertemu dengan rakan yang sejiwa, membuat jiwa juga tenang dan bahagia. Siapa kata penulis tak pandai bersosial? Tak bersosial, tak dapatlah kami menulis. Kawan dengan kami, anda pasti akan kenal jiwa seorang penulis.

Sekian saja laporan saya untuk majlis yang tak seberapa ini. Diharapkan majlis ini dapat dijalankan lagi untuk buku - buku yang lain. Di bawah ini, saya belanja gambar - gambar sepanjang majlis. Tahniah kepada semua penukil! Anda hebat!



No comments: