3 Apr 2017

BENGKEL PENULISAN ANEKDOT

PROGRAM: BENGKEL PENULISAN ANEKDOT
TARIKH: 1 & 2 APRIL 2017
TEMPAT: PERBADANAN KOTA BUKU, MAJU JUNCTION
MASA: 09.00 am - 04.00 pm
PENGENDALI: ZABIDI MOHAMED
TENAGA PENGAJAR JEMPUTAN: KHAIRY TAJUDIN & BAHRUDIN BEKRI (HARI PERTAMA) DAN HUSNA ADNAN (HARI KEDUA)

Saya memulakan bulan April dengan mengikuti Bengkel Penulisan Anekdot yang berlangsung selama dua hari di Perbadanan Kota Buku di Maju Junction Tower. Satu bengkel penulisan yang santai dan penuh dengan gelak ketawa. Mungkin para peserta mahu mengambil mood penulisan anekdot? Bengkel selama dua hari ini tidak terasa kelelahan malah mood kami sebagai peserta sentiasa ceria daripada mula kelas sehingga tamat bengkel. Terasa seperti berada bersama keluarga. Para peserta juga mudah terhibur ditambah dengan tenaga pengajar yang sedia lucu. 

Banyak ilmu penulisan yang kami perolehi. Ilmu penulisan, ilmu pemasaran dan ilmu penerbitan. Bengkel ini sangat bermanfaat untuk saya dan untuk semua peserta bengkel. Saya akan kongsikan semua ilmu ini dalam entri saya kali ini. Semoga bermanfaat.


Pasti ramai tidak mengetahui apa itu anekdot? Anekdot secara ringkasnya adalah satu bentuk karangan cerita pendek dan ringkas yang mempunyai pengajaran dan disampaikan secara santai dan ada unsur humor atau lucu. Penulisan anekdot ini sangat popular di negara luar seperti di Indonesia. Ramai penulis di Indonesia gemar menggunakan bentuk penulisan anekdot ini untuk menyuarakan pandangan mereka dan menyampaikan ilmu dalam bentuk penulisan yang santai tetapi lucu. mereka juga menyelitkan elemen sindiran secara berkias dalam penulisan anekdot. Di Malaysia pula, bentuk penulisan anekdot baru bermula. Pelbagai anekdot sudah berada dalam pasaran seperti Anekdot #imamtulangrusuk yang sedang popular kini. 

HARI 1: 1 APRIL 2017

Tuan Zabidi memberi sedikit perkongsian beliau mengenai penulisan anekdot beliau. Menurut Tuan Zabidi, penulisan anekdot boleh menggunakan kisah benar sebagai asas cerita dan boleh juga satu kisah rekaan (fiksyen). Kisah benar pula tidak seharusnya jujur iaitu tidak semua kisah itu ditulis semuanya. Bagi menarik perhatian pembaca, kisah benar itu difiksyenkan dan ditambah elemen lucu serta teknik penceritaan gaya anekdot.

Gaya anekdot? Apa dan bagaimana gayanya? Itu terpulang kepada kita sebagai penulisnya kerana kita yang tahu kisah yang hendak diceritakan. Anekdot ini adalah penulisan yang terus kepada persoalan atau perkara pokok. Tidak memerlukan mukadimah yang panjang berjela. Anekdot tidak sama dengan cerpen walaupun kepanjangannya hampir sama. Bahagian klimaks dalam cerpen adalah permulaan untuk anekdot. 

Bagaimana pula dengan gaya anekdot? dalam penulisan anekdot, terdapat tiga perkara penting yang perlu diambil perhatian. 
1. Situasi
2. Deskripsi
3. Dialog
Penulis perlu menceritakan situasi yang dialami tanpa mukadimah yang panjang. Kemudian, berikan deskripsi mengenai situasi yang berlaku ditambah dengan dialog yang menarik.

Contoh:

Abu berhajat untuk membeli hadiah untuk gurunya sempena Hari Guru. Dia tidak tahu hadiah yang sesuai untuk diberikan kepada gurunya. Ali memberi ideanya.

Abu: Apa idea kau?
Ali: Kita bagi hadiah berkotak untuk cikgu. Senang nak balut.
Abu: Okay. Tapi, hadiah apa yang berkotak?
Ali: Takpe. kau bagi je duit kat aku. Nanti aku belikan.

Pagi esoknya, Abu meletakkan hadiah di atas meja Cikgu Faridah. Abu tak tahu hadiah di dalamnya kerana Ali sudah siap membalut hadiah tersebut. Abu hanya sempat menulis kad ucapan untuk cikgu kesayangannya itu. Abu tersenyum puas. Pasti gurunya suka dengan hadiah itu.

Tengah hari itu, Abu dipanggil ke Pejabat Guru Besar. Cikgu Faridah ada di situ. Riak wajahnya tidak sejernih selalu. 

Guru Besar: Awak ingat ini gurauan ke, Abu?
Abu:(Terpinga - pinga) Kenapa, cikgu? Saya bagi hadiah kat Cikgu Faridah untuk Hari Guru.
Guru Besar: Tapi bukan ini hadiahnya.

Guru Besar menunjukkan sekotak seluar dalam lelaki yang tersusun kemas dalam sebuah kotak. Harganya juga masih belum ditanggal. Terkejut Abu dibuatnya. Ali memang betul - betul belikan hadiah berkotak untuk Cikgu Faridah. 


Kisah ini hanya contoh sahaja. Jangan ambil dan tulis semula di mana - mana ya. =)

Dalam perkongsian Tuan Khairy Tajudin pula,

Beliau berkongsi anekdot beliau yang ditulis dan kian popular menggunakan nama watak DAIM. Tuan Khairy menegaskan, penulisan yang baik adalah bagus dalam penjagaan kualiti penulisannya. Ejaan perlu penuh dan betul Tiada singkatan ejaan. Selain itu, penggunaan tatabahasa yang betul penting supaya karya kita megikut piawaian penulisan dan berkualiti. Menurut beliau lagi, penggunaan dialog dalam anekdot sangat penting untuk menggerakkan cerita. tanpa dialog, cerita seperti kaku. Lagi pula, anekdot merupakan satu kisah yang pendek. Maka, dialog sangat penting untuk menjadikan cerita lebih realistik dan memberi makna. 

Gambar daripada FB Tuan Zabidi Mohamed

Selesai perkongsian daripada Tuan Khairy Tajudin, kami dipecahkan kepada beberapa kumpulan. Setiap kumpulan diberi tugasan untuk berdiskusi idea anekdot dan meminta pandangan ahli kumpulan yang lain. Saya dan lima orang lagi ahli memilih untuk berdiskusi santai di Bilik Bacaan Kanak - kanak. Menerusi grup diskusi ini, saya berpeluang untuk mengenali personaliti yang pada pandangan mata saya sangat istimewa. Mereka berkongsi kisah diri mereka. Banyak ilmu yang kami perolehi. 



Selepas rehat, jam 2.30 pm, sesi kedua bengkel dimulakan. Kali ini, Tuan Zabidi menjemput seorang penulis anekdot untuk berkongsi ilmu penulisan dengan kami semua. 

Perkongsian daripada Tuan Bahrudin Bekri pula. Beliau menulis anekdot berdasarkan tragedi yang berlaku kepada beliau. Bagi beliau, momen tragedi yang berlaku dalam beberapa saat itu perlu diingati kerana ianya memberi makna dan boleh menjadi bahan cerita yang lucu. Kadang-kadang, perkara itu berlaku dalam beberapa saat sahaja. Maka, teknik penceritaan yang diselitkan unsur dramatik dan deskripsi keadaan sekeliling membantu menambah perisa dalam cerita kita.

Melihat gelagat penulis Pilo Toq ini saya pasti kisahnya pasti juga lucu. Belum bercakap lagi, kami sudah tertawa melihat ulahnya. Satu perkongsian yang sangat membantu kami semua.

Hari pertama berbengkel memang menerbitkan aura lucu. Banyak ilmu yang kami perolehi. Saya menanti hari kedua dengan penuh harapan. Katanya, esok akan di bentangkan kulit muka depan anekdot kami nanti dan sesi fotografi untuk semua penulis. Wah, tak sabarnya nak bergambar!

Esok saya akan sambung lagi penulisan saya.

No comments: