4 Apr 2017

BENGKEL PENULISAN ANEKDOT

HARI KEDUA:

TARIKH: 2 APRIL 2017
MASA : 09.00 a.m, - 02.00 p.m.

Pagi itu saya terlewat ke kelas kerana jalan yang biasa ditutup sementara untuk memberi laluan kepada penunggang basikal menggunakan laluan utama. Saya dimaklumkan pada setiap Ahad minggu pertama setiap bulan, jalan utama di bandaraya akan ditutup untuk acara berbasikal. Saya baru tahu. Alamatnya, berpusinglah kami mencari jalan sedangkan jarak Hotel Grand Season dan Perbadanan Kota Buku hanya 1.7km sahaja tetapi kami terpaksa berpusing hampir 20 minit. 

Namun, halangan kecil itu tidak memudarkan semangat saya untuk meneruskan pembelajaran pada hari itu. Kami mulakan pagi dengan acara ramah mesra sesama kami. Tuan Zabidi memberi kami masa untuk menyiapkan anekdot kami sendiri berdasarkan input dan tips yang kami perolehi semalam. Saya mengambil peluang untuk mempromosi buku dan berkenalan dengan ahli bengkel yang lain. Sempat juga saya menulis satu anekdot. Semalam, semasa sesi diskusi, saya sempat menulis beberapa idea dalam buku nota saya. Cuma tinggal nak memindahkan idea kepada bentuk karangan sahaja. 

Pukul 10.30 a.m., penceramah jemputan tiba. Puan Husna Adnan daripada Skuad Misi hadir untuk memberikan taklimat tentang penulisan dan perniagaan buku. Beliau berkongsi tentang seorang penulis yang menerbitkan karya sendiri sehingga mampu menjual 10000 naskhah bukunya tanpa kos pemasaran yang tinggi. Antara tipsnya adalah penulis perlu menghasilkan karya yang bermutu. Untuk menghasilkan karya yang bermutu, bukan sahaja idea perlu asli dan segar tetapi pemeliharaan dari sudut gramatis sesuatu penulisan. Penulis perlu sentiasa menjaga ejaan, penggunaan bahasa, tatabahasa, tanda baca dan lain-lain. Puan Husna turut memberikan beberapa latihan untuk menguji kami tentang tatabahasa. Bengkel ini sangat santai sehingga ada peserta yang juga seorang guru berkongsi ilmunya kepada kami semua. Puan Normujaidah Osman berkongsi pengetahuannya mengenai penggunaan tanda (;). Memang jarang digunakan tapi saya selalu menggunakan tanda ini. Begitu juga penggunaan tanda sempang dalam ayat menunjukkan penegasan dalam ayat sebelumnya. 

No comments: