21 Mar 2017

MASIH RELEVANKAH DASAR BUKU NEGARA?

Industri Buku di Malaysia masih perlu dimantapkan. Malaysia mempunyai Dasar Buku Negara yang diluluskan oleh kabinet pada tahun 1988. Objektif dasar ini adalah untuk memastikan rakyat Malaysia mempunyai minat membaca yang tinggi dan menggunakan bahan bacaan yang berkualiti. Dasar ini juga digubal untuk menjadi pemangkin terhadap program-program lain seperti kesinambungan Kempen Membaca (Perpustakaan Negara), Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (MBKM) dan lain-lain. 

Namun, industri perbukuan di Malaysia masih belum di tahap yang memuaskan. Kualiti buku yang diterbitkan masih diragui apatah lagi gaya membaca masyarakat masa kini semakin berubah selari dengan perkembangan teknologi. Adakah Dasar Buku Negera sudah tidak relevan lagi? Apakah yang harus kita lakukan bagi memantapkan industri perbukuan dan gaya membaca masyarakat kita? 

Saya memetik intipati ucapan Pengerusi ITBM di Parlimen 15 Mac yang lalu. 


SIARAN MEDIA
Dasar Buku Negara(DBN) Perlu Diperbaharui Agar Kekal Relevan

1. Ketika berbahas dalam Titah Ucapan Tuanku di sesi sidang Parlimen kali ini, saya menggesa pihak kerajaan agar memperbaharui Dasar Buku Negara (DBN) yang telah diguna pakai sejak era 1980-an, dan memberi perhatian khusus terhadap misi tersebut kerana impaknya penting dalam membantu negara menjayakan wawasan TN50.

2. DBN ini mesti diberi perhatian khusus kerana negara menuju wawasan TN50. Asas sebuah negara maju ialah ilmu. Pencarian ilmu mesti digali menerusi buku, dan buku pula wujud dalam penzahiran kovensional dan digital. Malah, buku adalah rakaman ilmu yang paling asasi serta organik, mengkhazanahkan kecerdasan lokal (local wisdom) mewakili nilai-nilai Malaysiana. Buku mewakili sisi penting yang lebih awla dan huluan (upstream) di dalam rantaian industri kandungan. DBN mesti diperbaharui sejajar dengan perkembangan zaman ini.

3. Dalam menyemarakkan industri buku, saya mencadangkan agar Kad Debit Siswa (dahulunya Baucer Buku 1Malaysia) kembali kepada pembelian buku sahaja dan bukan kepada perkara-perkara lain.

4. Ekonomi Perbukuan perlu mempunyai indeks-indeks khusus yang menilai kualiti kandungan, kesan terhadap kecerdasan di samping petunjuk-petunjuk ekonomi yang menggambarkan keberadaan (healthcheck) perbukuan negara. Ini termasuklah petunjuk kebolehupayaan pengguna membeli buku.

5. Susulan itu, Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) disaran mengaplikasikan kaedah Strategi Lautan Biru (BOS) dan melaksanakan inisiatif merentas sempadan kebiasaan, sekali gus melihat industri buku dalam kerangka lebih menyeluruh.

6. Industri buku negara mesti dilindungi. Konsep 'Kedaulatan Kandungan' mesti diambil perhatian supaya karya buku Malaysia didaftar, disimpan dan diarkibkan dalam negara secara bersungguh-sungguh agar kita kelak tidak perlu meminta-minta kandungan kita yang berkemungkinan di simpan dalam repositori digital milik negara asing.

YB Budiman Mohd Zohdi

Ahli Parlimen Sungai Besar / Adun Sungai Panjang
9.00 pagi / 15 Mac 2017

No comments: