19 Jun 2017

ABAH

Abah
Pergimu bersama sebuah harapan
Seorang anak yang baru mengenal dunia
Masih mentah menilai perkara
Hanya mampu mengumpul raksa yang mengalir memercik berjuta kekuatan ke segenap urat nadi
Untuk menghadapi kehidupan
Selepas pemergianmu
Pergimu bukan sementara
Tiada yang tersisa
Cuma kenangan yang masih melekat di tangkai hati
Abadinya hanya bayangan tubuhmu yang sentiasa bermain di mata
Alunan suaramu juga semakin pudar ditelan waktu
Jika pemergianmu kami tahu

18 Jun 2017

AKU, ABAH DAN RAMADAN

HARI INI 18 JUN 2017

SATU DUNIA MERAIKAN HARI BAPA
SEORANG BAPA DIRAIKAN ATAS KESUNGGUHANNYA MENUNAIKAN TANGGUNGJAWAB MEMIMPIN KELUARGANYA.


Abah telah pergi meninggalkan kami semua pada 3 Jun 2011. Pemergian abah mengubah kehidupan kami 360 darjah. Tiada lagi suara abah menasihati kami itu dan ini, tiada gurauan abah, tiada lawak jenaka abah dan tiada lagi kedengaran suara abah memanggil diri ini.

Setelah abah tiada, baru kita terasa kehadiran abah. Itu lumrah. Saya tidak pernah berjauhan dengan abah. Ketika abah sakit tenat, saya sedang berjuang dengan peperiksaan akhir semester di UiTM. Saya ralat. Saya tiada di sisi abah ketika abah memerlukan anak - anak di sisinya. Hanya mama yang setia di sisi Abah. Mama melayani setiap detik, sakit abah, makan abah malah memandikan abah. Abah hilang upaya. tubuhnya yang bugar, hanya tinggal rangka. Abah menanggung kesakitan. 

Kini, abah sedang berbahagia di samping Sang Pencipta. Setiap hari saya berdoa, semoga dapat bertemu abah di Syurga. Hati ini sangat merindui Abah. 

Sempena Hari Bapa ini, saya hanya mampu mendoakan Abah semoga sejahtera di negeri sana. Sajak ini saya tulis istimewa untuk memperingati abah kerana di setiap Ramadan, Abah mengimarah Ramadan kami. kami tidak pernah sunyi dengan tazkirah Abah, ajaran agama yang abah sampaikan dan kisah - kisah tauladan yang abah perdengarkan kepada kami. Apatah lagi, menjelang Syawal, Abah memeluk kami. Kini, pelukan itu hanya dapat dirasai tatkala mata ini dipejam. Abah hanya ada dalam hati ini. 

Selamat Hari Bapa, Abah. Tiada abah sepertimu. Kami akan sentiasa merinduimu dan dirimu akan tetap hidup dalam diri kami.

klik di sini jika anda mahu meraikan abah anda.

16 Jun 2017

JUALAN AMAL DI SK RAJA MUDA, SEKSYEN 4, SHAH ALAM


Mudahnya buat amal. Mari berbelanja sambil beramal.

Saya turut menyertai jualan ini.

Buku - buku saya akan dilelong dengan harga RM15 SAHAJA! JANGAN LEPASKAN PELUANG INI!


TIPS BERBELANJA MENJELANG SYAWAL


Ramadan semakin berlalu pergi. Kita pasti akan merindui saat - saat beribadah dan menahan diri daripada lapar, dahaga, emosi melampau dan pastinya menahan diri daripada pembaziran dan boros. 

Setiap kali menjelang perayaan Aidilfitri, pasti ramai akan mengeluarkan belanja yang besar untuk meraikan hari kebesaran umat Islam ini. Segala persiapan akan dilakukan sebelum tibanya Ramadan daripada pakaian, makanan, keperluan rumah, perbelanjaan balik kampung, urusan zakat dan sebagainya.

Namun, perbelanjaan yang besar bukan suatu kewajipan walaupun kita meraikan hari raya setahun sekali sahaja. Begitu juga Ramadan yang tiba setahun sekali, kita juga dilatih dan berlatih menahan diri daripada memenuhi nafsu yang buas, mengapa di penghujung Ramadan kita melempiaskan nafsu dengan berbelanja sesuka hati? Di mana ibrah atau pengajaran dalam Ramadan itu?

Di sini, saya ingin kongsikan beberapa tips untuk mengawal perbelanjaan anda supaya selepas Aidilfitri, anda masih ada wang untuk perbelanjaan harian sementara menanti gaji seterusnya. 


12 Jun 2017

SALAM NUZUL AL - QURAN

ALHAMDULILLAH!

Kita sudah memasuki fasa kedua dalam bulan Ramadan. Fasa pengabdian diri kepada Pencipta Maha Agung. 17 Ramadan, Al - Quran diturunkan. Satu mukjizat yang kekal hingga ke hari kiamat. 



Al - Quran; mukjizat Nabi S.A.W. yang masih dapat disaksikan sehingga sekarang dan selamanya. 

Kalamuallah ini diturunkan oleh malaikat Jibrail secara berperingkat bermula dengan ayat Iqra', iaitu 'Bacalah'. Mengapa mukjizat maha suci ini dimulakan dengan seruan membaca? Sedangkan pada ketika itu, bukan zaman 'membaca'. Belum ada lagi teknologi penulisan. Sekadar menulis di atas batu, kepingan daun dan di pipih tamar. 

Al - Quran menjadi kitab rujukan seluruh umat merentasi masa. Sentiasa relevan sejak seribu tahun yang lalu, masa kini dan pastinya untuk beribu tahun lagi. Seruan membaca tetap bergema selagi ada hayat manusia. Allah telah memberi petunjuk kepada kita, kepentingan membaca untuk kejayaan. Jom kita membaca. 

Hayati Al - Quran, 
timba pengetahuan, 
dekati ilmuwan. 





10 Jun 2017

RESENSI BUKU DI PERBADANAN KOTA BUKU

ALHAMDULILLAH.

Syukur yang tidak terhingga kepada Yang Maha Esa kerana atas izin-Nya, saya berpeluang untuk bersiaran secara langsung di Perbadanan Kota Buku untuk sesi resensi buku. Temujanji singkat antara saya dan pengurus sesi ini iaitu Encik Sam memberi peluang kepada saya untuk memperkenalkan diri dan membuat ulasan mengenai karya saya.

Saya memilih karya pertama saya yang berjaya dibukukan. Sesuci Sekuntum Dahlia dalam Antologi Bebas. Antologi Bebas diterbitkan pada bulan Ogos 2016. Cerpen ini pula ditulis pada tahun 2015. Saya tak ingat bila tarikhnya tapi yang pasti ketika itu saya masih belum berumahtangga. 

Siapa Dahlia? Kenapa saya mengangkat kisah ini? Itu persoalan yang saya rungkaikan dalam resensi kali ini. Kisah yang diinspirasikan daripada lagu Kupu - kupu Malam dendangan Evie Tamal yang kemudian dinyanyikan semula oleh Peter Pan memberi ilham kepada saya untuk menghasilkan sebuah cerpen. Saya selitkan moral, setiap manusi mempunyai peluang kedua untuk melakukan perubahan dalam diri mereka. Mereka berhak hidup bebas di bumi Allah ini. Mereka juga layak mendapat layanan yang baik. Siapa kita untuk menghakimi orang lain?

Saya memilih antologi ini untuk diulas kerana antologi ini membuka peluang kepada saya untuk melebarkan sayap dalam bidang penulisan. Antologi ini menjadi batu loncatan kepada saya untuk terus mengorak langkah dalam bidang penulisan. Bidang penulisan bukan sesuatu yang mudah. Tanpa usaha yang berterusan, semangat yang kental dan jiwa yang kuat, tiada karya yang akan terhasil.

Saya sangat bersyukur. Bersyukur atas nikmat Tuhan yang memberikan ilham kepada saya. Sesungguhnya, setiap ilham yang dikurniakan adalah rezeki dari-Nya. Bersyukur juga kerana dikurniakan teman hidup yang sudi menyokong kerjaya saya. Tanpa beliau, saya tidak mampu terbang dengan jaya. Saya umpama burung yang patah sayap! Kini, saya mampu terbang melihat dunia yang penuh warna. Bersyukur atas nikmat Tuhan, keluarga yang memberikan sokongan yang penuh walaupun tiada kata yang terzahir, senyuman dan doa mereka menjadi tulang belakang buat saya. 

Akhir sekali, naskhah Antologi Bebas ini membebaskan saya daripada belenggu fikiran yang sempit dan kusut. Saya bebas meluahkan pemikiran saya. Saya bebas berkarya. Saya pasti anda juga mahu bebas daripada kehidupan yang gelap. Mari kita bersama - sama membebaskan jiwa yang suram, mencari cahaya Ilahi. Sesuci Sekuntum Dahlia - membuka mata jiwa.




klik link ini untuk lihat video siaran langsung yang telah dirakam oleh pihak Kota Buku.

1 Jun 2017

KARYA TERKINI

Alhamdulillah. Berita gembira telah diterima. Kelahiran dua karya terbaru dalam dua antologi terbitan Pena Padu. 



Antologi Warna - himpunan kisah - kisah masyarakat yang menjadi inspirasi dan mencorakkan warna hidup mereka.

Antologi Tribunal Cinta - kisah cinta yang penuh ranjau, onak dan duri. Kisah itu mendapat rundingan daripada kaunselor cinta. 

Karya saya pula:

Seindah Jalur Pelangi 2 - kesinambungan daripada Seindah Jalur Pelangi 1 hasil tulisan penulis Ilham Pujangga. Kedua - dua cerpen ini menggunakan format cerpen bersambung atau cerbung. Ini adalah percubaan kali yang pertama bagi saya dan Ilham Pujangga menghasilkan karya sebegini. Kisah ini adalah mengenai kerinduan seorang abang terhadap adiknya dan seorang anak kepada ayahnya yang telah terkorban ketika babjir besar melanda perkampungan mereka suatu waktu dahulu. 

Anugerah Sebuah Duka pula saya nukilkan untuk Antologi Tribunal Cinta membawa kisah sebenar dua insan, penyatuan dua hati yang penuh dengan liku, salah sangka dan dugaan. 

Kisah - kisah ini pasti menyentap tangkai hati para pembacanya. Saya pasti. Karya penulis yang lain turut menyentuh emosi sehingga mampu membuat mata pembaca berkaca. 

#syahidahassan
#kisahcinta
#tribunalcinta
#antologiwarna