28 Jan 2018

BENGKEL PENGHAYATAN PANTUN BERSAMA SASTERAWAN NEGARA

PANTUN


PANTUN adalah sub genre puisi tradisi yang masih diminati. Pantun digunakan di dalam majlis perkahwinan, dijadikan lirik lagu dan dalam ucapan-ucapan. Pada masa ini timbul keinginan dan kesedaran dan minat dari orang ramai untuk menulis pantun. Oleh itu satu bengkel untuk membimbing peserta mencipta pantun mengajar untuk menghayati dan memahami pantun dianjurkan bagi memenuhi keperluan masyarakat kini.
Semasa di sekolah, kita belajar bentuk pantun sebagai puisi yang mempunyai rima akhir a-b-a-b saja. Tahukah anda, pantun juga mempunyai pelbagai jenis dan rima juga tidak terikat kepada bahagian akhir sebaliknya pantun yang baik adalah pantun yang tersusun dari awal hingga akhir setiap baris.
Tidak ketinggalan pembayang setiap pantun tidak ditulis sekadar untuk menyamakan rima atau sebagai penyedap sahaja sebaliknya pembayang juga berfungsi sebagai bayangan untuk maksud setiap pantun. Satu ilmu baru, bukan?
“Apabila dua baris pembayang ada maksud yang sesuai dengan dua baris maksud, ia akan jadi sebuah pantun yang baik dan sempurna. Jika pantun tersebut tak dapat membayangkan maksudnya, ia bukanlah pantun yang sempurna.”- Dato’ Dr. Zurinah Hassan.
Kita lihat pantun ini:
Kusangkakan nanas di padang,
Rupa-rupanya pandan yang berduri;
Kusangkakan panas hingga ke petang,
Rupa-rupanya hujan di tengah hari.
Berdasarkan pantun ini, pembayangnya memberi bayangan kepada maksud pantun seperti yang dijelaskan oleh Dato’ Dr. Zurinah Hassan. Pantun di atas membawa maksud, sesuatu yang diharapkan tidak menjadi kenyataan seperti ternampak nanas dari jauh, rupa – rupanya serumpun pandan.
Begitulah pantun wujud sebagai kiasan kata dan untuk menyampaikan sesuatu secara berlapik. Masyarakat Melayu memang kaya dengan budi Bahasa. Kita sebagai generasi kini perlu mengekalkan tradisi berpantun dan menghayati pemikiran dalam pantun untuk generasi akan datang. Secara tidak langsung, anak muda pasti akan mewarisi budaya dan budi Bahasa yang sama.
25 Februari 2018 akan diadakan satu Bengkel Penghayatan Pantun bertempat di Triple XL Media, Shah Alam. Penyertaan adalah terhad. Penceramahnya tidak asing lagi iaitu Dato’ Dr. Zurinah Hassan. Rujuk poster untuk maklumat lanjut.
Pendaftaran, sila klik pautan berikut: https://goo.gl/forms/cKtfCEYWBa7nbTPB3
Pertanyaan, sila klik pautan berikut: http://bengkelpantun.wasap.my

1 comment:

z4ki4h said...

Bilakah bengkel penghayatan pantun ini akan diadakan lagi? Jika ada boleh emailkan kpd sy cikz_04@yahoo.com