Buat pertama
kalinya Syahida Hassan Enterprise bekerjasama dengan Persatuan Penulis dan
Kebajikan Negeri Selangor (KEMUDI) menganjurkan Bengkel Penghayatan Pantun Bersama
Sasterawan Negara; Dato’ Dr. Zurinah Hassan. Bengkel tersebut dijalankan pada
25 Februari 2018 dengan kehadiran 26 orang peserta dari pelbagai latar
belakang. Para peserta teruja apabila dapat berinteraksi secara dua hala
bersama tokoh sastera yang disegani ramai itu. Pelbagai pertanyaan diajukan untuk
memantapkan ilmu berkaitan pantun dan puisi tradisional yang lain.
Para peserta
dihiburkan dengan dendangan syair dan gurindam daripada Dato’ Dr. Zurinah pada
awal bengkel. Mereka tidak ketinggalan untuk turut serta mendendangkan syair
dan gurindam tersebut. Menurut Dato’, terdapat lebih 30 jenis puisi tradisional
tetapi pantun merupakan puisi tradisional yang paling popular dan selalu
digunakan dalam pelbagai acara dan penulisan.
Dalam bengkel
tersebut, Dato’ Dr. Zurinah menyentuh mengenai asal pantun, teknik penulisan
pantun, tip penulisan pantun, pembayang pantun dan ulasan beberapa pantun lama.
Beliau turut menegaskan hubungkait antara pembayang dan baris maksud pantun
dalam teknik penulisan pantun. Beliau juga memberi latihan kepada semua peserta
untuk menghasilkan serangkap pantun dan diulas setiap pantun secara bersama.
Melalui latihan tersebut, para peserta semakin jelas dengan teknik menulis
pembayang pantun. Pembayang haruslah logik dan memberi bayangan untuk baris
maksud pantun.
Para peserta
jelas dengan penerangan beliau dan berharap program seperti ini dapat
dijalankan pada masa akan datang. Keseluruhannya, program ini mencapai objektifnya
dan diharapkan para peserta dapat mengaplikasikan segala ilmu dalam kerjaya dan
penulisan mereka.
No comments:
Post a Comment