11 Mar 2018

MENANG PERADUAN BELI DAN MENANG ANJURAN KOPERASI DBP

Hari ni saya mendapat perkhabaran yang menggembirakan. Saya menang peraduan lagi.
Dalam perjalanan ke Kota Buku pagi tadi, saya mendapat satu panggilan tapi saya tak sempat jawab. Saya lihat tertera nombor pejabat. Pelik juga saya. Hari Ahad, pejabat mana yang buka? Risau kan, sekarang ni banyak 'scammer'. Saya pun salin dan cuba cari nombor tersebut di Google. Google menunjukkan nombor tersebut milik Koperasi Dewan Bahasa dan Pustaka. Saya cuba mengingat semula. Saya ada buat tempahan bukukah? Pelik lagi, hari Ahad koperasi buka?

Dalam masa berfikir - fikir, satu pesanan ringkas mengetuk telefon bimbit saya. Pesanan daripada seseorang berbunyi, 'Cik Nurul. Boleh call saya semula berkaitan Peraduan Kempen Beli dan Menang Koperasi DBP Malaysia Bhd.' 

Saya terus menjerit dalam kereta. Suami saya pun terperanjat. Saya ketawa. Oh, saya dapat rasakan kemenangan tersebut. Cuma untuk kepastian, saya terus menghubungi nombor pejabat tadi. baru satu persoalan yang terungkai.

Berdebar juga tatkala panggilan bersambut dan saya perlu menanti pegawai yang menghubungi saya menjawab panggilan saya. Syukur alhamdulillah. Saya dimaklumkan memenangi hadiah saguhati berupa wang tunai RM200. Hadiah akan disampaikan di Koperasi DBP pada tarikh yang akan dimaklumkan. Saya teruja. Sebelum itu, saya ada menyebut nak laburkan RM200 untuk membeli buku baru. Tak sangka, rezeki tiba tanpa dijangka dengan sedikit usaha. 

Macam mana saya boleh menang? Saya mengikuti peraduan ini melalui dorongan suami. Sanggup suami saya belikan buku dan minta saya baca. Dia juga memesan untuk tidak lupa menyertai peraduan tersebut. Dengan modal RM48 membeli lima buah novel terbitan DBP, saya mendapat pulangan RM200. Berbaloi? Memang berbaloi. Lepas ni nak sertai lagi peraduan. Menang atau kalah jangan fikir. Kita tak tahu usaha yang mana ada ganjarannya. 


No comments: