3 Jun 2018

BERAYA DENGAN BIJAK

Ramadan semakin berlalu pergi. Kita pasti akan merindui saat - saat beribadah dan menahan diri daripada lapar, dahaga, emosi melampau dan pastinya menahan diri daripada pembaziran dan boros.

Setiap kali menjelang perayaan Aidilfitri, pasti ramai akan mengeluarkan belanja yang besar untuk meraikan hari kebesaran umat Islam ini. Segala persiapan akan dilakukan sebelum tibanya Ramadan daripada pakaian, makanan, keperluan rumah, perbelanjaan balik kampung, urusan zakat dan sebagainya.

Namun, perbelanjaan yang besar bukan suatu kewajipan walaupun kita meraikan hari raya setahun sekali sahaja. Begitu juga Ramadan yang tiba setahun sekali, kita juga dilatih dan berlatih menahan diri daripada memenuhi nafsu yang buas, mengapa di penghujung Ramadan kita melempiaskan nafsu dengan berbelanja sesuka hati? Di mana ibrah atau pengajaran dalam Ramadan itu?

Di sini, saya ingin kongsikan beberapa tips untuk mengawal perbelanjaan anda supaya selepas Aidilfitri, anda masih ada wang untuk perbelanjaan harian sementara menanti gaji seterusnya.

1. Senaraikan pakaian yang hendak dibeli. Seorang hadkan dua pasang baju sahaja. Memakai pakaian baru di Aidilfitri adalah sunnah tetapi jika membazir, itu bukan sunnah. Beli baju pada waktu sebelum Ramadan. Jika tidak sempat atau baru dapat bonus raya, beli saja mengikut keperluan. Jika boleh, beli daripada peniaga yang menawarkan harga yang berpatutan dengan anda. Beli pakaian yang tidak mengikut trend semasa. Jadi, selepas raya dan raya tahun depan masih boleh dipakai.

2. Senaraikan barang keperluan dapur. Jika boleh, senaraikan jenis hidangan yang anda rancang untuk masak pada hari raya pertama dan seterusnya. Jika anda beraya bersama ahli keluarga yang besar, kongsikan saja menu dan sediakan mengikut keperluan keluarga dan tetamu yang bakal berkunjung ke rumah anda.

21 Mar 2018

MENYEMARAK HARI PUISI SEDUNIA 21 MAC 2018

Hari Puisi Sedunia disambut oleh seluruh pencinta bahasa dan sastera. Pada hari ini, ramai gunakan puisi sebagai wadah mengulas bicara, mencurah rasa dan menterjemah idea. Pasti seronok! Hari ni, saya juga ingin menyampaikan satu puisi. Kali ini berkenaan wanita. Hayati puisi ini.




SELAMAT MENYAMBUT HARI WANITA DAN SELAMAT BERPUISI =)

11 Mar 2018

MAJLIS PELANCARAN ANEKDOT KERA LUPA PASSWORD


Masih ingat lagi saya pernah mengikuti Bengkel Penulisan Anekdot bersama Zabidi Mohamed tahun lepas? Hari ni saya menadah tangan mengucap syukur kerana anekdot ini berjaya diterbitkan hasil daripada bengkel selama dua hari. Lama juga nak siap kerja penerbitannya. Tapi, saya dan penulis yang lain tetap bersyukur kerana usaha dan niat kami tidak sia - sia. berbaloi sebenarnya. 

Majlis pelancaran ini diadakan di Perbadanan Kota Buku dan dirasmikan oleh En Abd Wahab Ibrahim, Pengarah Urusetia Tetap Majlis Buku Kebangsaan, Kementerian Pedidikan Malaysia. Saya sebagai salah seorang penyumbang karya berasa berbangga dengan penerbitan anekdot ini. 

Apa kisah dalam ni? Kisah keluarga saja. Memang macam kera lupa password la kalau baca buku ni. Gelak tak berhenti. Tapi, awas! Jangan baca sorang - sorang. Nanti ada yang fikir anda kurang waras. hehe. 

Apa - apa pun, syabas dan tahniah kepada penulis yang lain. Tak mudah nak buat orang terhibur dengan penulisan kita. 

Nak beli? Mudah saja. whatsapp saja saya di talian 0107907388. Harga pun tak mahal. RM22 saja tidak termasuk kos penghantaran. 

Ni saya belanja gambar sekitar majlis pelancaran untuk tatapan anda.















MENANG PERADUAN BELI DAN MENANG ANJURAN KOPERASI DBP

Hari ni saya mendapat perkhabaran yang menggembirakan. Saya menang peraduan lagi.
Dalam perjalanan ke Kota Buku pagi tadi, saya mendapat satu panggilan tapi saya tak sempat jawab. Saya lihat tertera nombor pejabat. Pelik juga saya. Hari Ahad, pejabat mana yang buka? Risau kan, sekarang ni banyak 'scammer'. Saya pun salin dan cuba cari nombor tersebut di Google. Google menunjukkan nombor tersebut milik Koperasi Dewan Bahasa dan Pustaka. Saya cuba mengingat semula. Saya ada buat tempahan bukukah? Pelik lagi, hari Ahad koperasi buka?

Dalam masa berfikir - fikir, satu pesanan ringkas mengetuk telefon bimbit saya. Pesanan daripada seseorang berbunyi, 'Cik Nurul. Boleh call saya semula berkaitan Peraduan Kempen Beli dan Menang Koperasi DBP Malaysia Bhd.' 

Saya terus menjerit dalam kereta. Suami saya pun terperanjat. Saya ketawa. Oh, saya dapat rasakan kemenangan tersebut. Cuma untuk kepastian, saya terus menghubungi nombor pejabat tadi. baru satu persoalan yang terungkai.

Berdebar juga tatkala panggilan bersambut dan saya perlu menanti pegawai yang menghubungi saya menjawab panggilan saya. Syukur alhamdulillah. Saya dimaklumkan memenangi hadiah saguhati berupa wang tunai RM200. Hadiah akan disampaikan di Koperasi DBP pada tarikh yang akan dimaklumkan. Saya teruja. Sebelum itu, saya ada menyebut nak laburkan RM200 untuk membeli buku baru. Tak sangka, rezeki tiba tanpa dijangka dengan sedikit usaha. 

Macam mana saya boleh menang? Saya mengikuti peraduan ini melalui dorongan suami. Sanggup suami saya belikan buku dan minta saya baca. Dia juga memesan untuk tidak lupa menyertai peraduan tersebut. Dengan modal RM48 membeli lima buah novel terbitan DBP, saya mendapat pulangan RM200. Berbaloi? Memang berbaloi. Lepas ni nak sertai lagi peraduan. Menang atau kalah jangan fikir. Kita tak tahu usaha yang mana ada ganjarannya. 


10 Mar 2018

BENGKEL PENULISAN GAYAWAN DI SEED COLLEGE


IBU MUDA DAN RAIH ILMU


Hari ni saya berkesempatan untuk mengikuti Seminar Penulisan Gayawan yang dikendalikan oleh Zayu Hisham. Pada mulanya, saya tak terfikir nak mengikuti seminar ni walaupun sudah diajak oleh rakan saya, Zie Ismail. Saya masih terfikir - fikir, nak ikut ke tak seminar ni?


Bukan pasal apa pun. Saya memikirkan, siapa nak jaga anak saya kalau saya kursus seharian? Kalau saya bawa seperti biasa, saya tak dapat fokus dalam seminar? Mujur, suami tiada perancangan dan membenarkan saya mengikuti seminar ni. 

26 Feb 2018

BERPANTUN BERSAMA SASTERAWAN NEGARA


 Buat pertama kalinya Syahida Hassan Enterprise bekerjasama dengan Persatuan Penulis dan Kebajikan Negeri Selangor (KEMUDI) menganjurkan Bengkel Penghayatan Pantun Bersama Sasterawan Negara; Dato’ Dr. Zurinah Hassan. Bengkel tersebut dijalankan pada 25 Februari 2018 dengan kehadiran 26 orang peserta dari pelbagai latar belakang. Para peserta teruja apabila dapat berinteraksi secara dua hala bersama tokoh sastera yang disegani ramai itu. Pelbagai pertanyaan diajukan untuk memantapkan ilmu berkaitan pantun dan puisi tradisional yang lain.
Para peserta dihiburkan dengan dendangan syair dan gurindam daripada Dato’ Dr. Zurinah pada awal bengkel. Mereka tidak ketinggalan untuk turut serta mendendangkan syair dan gurindam tersebut. Menurut Dato’, terdapat lebih 30 jenis puisi tradisional tetapi pantun merupakan puisi tradisional yang paling popular dan selalu digunakan dalam pelbagai acara dan penulisan.

24 Feb 2018

LEPAK SANTAI PENULIS DEALOVA 1 & 2


Alhamdulillah. Buku antologi terbaru sudah berada di tangan. Dealova 1 & 2 terbitan Pena Padu. 
Siang tadi, saya dan beberapa orang penulis Dealova 1 & 2 berkumpul di Tasik Shah Alam untuk sesi lepak santai dan penyerahan buku oleh penerbit buku Pena Padu. Program ni ala - ala majlis pelancaran tapi kami adakan secara santai saja. Tak ramai yang dapat sertai. Lebih kurang 10 orang penulis bersama ahli keluarga mereka. Itu pun dah terasa kemeriahannya. Kalau semua terlibat, pasti lagi kebabom. Hehe. Terima kasih semua terutama Ayahanda Chik yang menaja makanan yang sedap. 

Alhamdulillah. Syukur sangat. Lama menanti buku ni siap. Cabarannya, Tuhan saja yang tahu. Menurut kata penyelenggara, Sangat susah untuk emngumpul karya dari Ogos tahun lepas sampai ke bulan Januari. Ada saja halangan termasuk penulis yang tarik diri saat akhir dan penulis yang tarik karya! 😭😢 Saya faham mengapa perkara sebegini berlaku? Sebenarnya, tak mudah untuk menghasilkan sebuah cerita. Apatah lagi untuk menghasilkan karya yang mampu menarik minat pembaca, membuka minda dan memberi pengajaran yang berguna kepada pembaca. Saya akui, menulis tidak semudah mengunyah kacang. Kacang pun kadang-kadang ada yang keras, sukar untuk dikunyah. Begitulah, semua orang boleh menulis tetapi tidak semua mampu menulis dengan baik. Saya pun masih belajar menulis daripada penulis - penulis yang sudah dikenali dengan hasil penulisan yang mantap.


Alhamdulillah. Karya yang bertahun ditulis berjaya diterbitkan dalam antologi bersama penulis yang hebat - hebat. Melalui tunjuk ajar penyelenggara yang baik hati juga, beliau menyunting sedikit karya saya dan memberi pandangan kepada saya untuk memperbaiki mutu penulisan. Semakin hari semakin banyak yang saya rasa saya perlu belajar. Menulis tidak mudah ya. 

Dealova 1 & 2 dah terbit. Dengar kata ada sambungan. Kita jeng.. jeng... jeng... dulu ya. 😍
Nak tahu lebih lanjut, boleh 'like'dan 'follow' Laman FB Antologi Dealova 

Semua maklumat ada dalam tu termasuk maklumat ejen jualan naskhah Dealova. Wow! Siap ada ejen lagi tu. Buku best ni tau. Jangan tak beli.

























28 Jan 2018

BENGKEL PENGHAYATAN PANTUN BERSAMA SASTERAWAN NEGARA

PANTUN


PANTUN adalah sub genre puisi tradisi yang masih diminati. Pantun digunakan di dalam majlis perkahwinan, dijadikan lirik lagu dan dalam ucapan-ucapan. Pada masa ini timbul keinginan dan kesedaran dan minat dari orang ramai untuk menulis pantun. Oleh itu satu bengkel untuk membimbing peserta mencipta pantun mengajar untuk menghayati dan memahami pantun dianjurkan bagi memenuhi keperluan masyarakat kini.
Semasa di sekolah, kita belajar bentuk pantun sebagai puisi yang mempunyai rima akhir a-b-a-b saja. Tahukah anda, pantun juga mempunyai pelbagai jenis dan rima juga tidak terikat kepada bahagian akhir sebaliknya pantun yang baik adalah pantun yang tersusun dari awal hingga akhir setiap baris.
Tidak ketinggalan pembayang setiap pantun tidak ditulis sekadar untuk menyamakan rima atau sebagai penyedap sahaja sebaliknya pembayang juga berfungsi sebagai bayangan untuk maksud setiap pantun. Satu ilmu baru, bukan?
“Apabila dua baris pembayang ada maksud yang sesuai dengan dua baris maksud, ia akan jadi sebuah pantun yang baik dan sempurna. Jika pantun tersebut tak dapat membayangkan maksudnya, ia bukanlah pantun yang sempurna.”- Dato’ Dr. Zurinah Hassan.
Kita lihat pantun ini:
Kusangkakan nanas di padang,
Rupa-rupanya pandan yang berduri;
Kusangkakan panas hingga ke petang,
Rupa-rupanya hujan di tengah hari.
Berdasarkan pantun ini, pembayangnya memberi bayangan kepada maksud pantun seperti yang dijelaskan oleh Dato’ Dr. Zurinah Hassan. Pantun di atas membawa maksud, sesuatu yang diharapkan tidak menjadi kenyataan seperti ternampak nanas dari jauh, rupa – rupanya serumpun pandan.
Begitulah pantun wujud sebagai kiasan kata dan untuk menyampaikan sesuatu secara berlapik. Masyarakat Melayu memang kaya dengan budi Bahasa. Kita sebagai generasi kini perlu mengekalkan tradisi berpantun dan menghayati pemikiran dalam pantun untuk generasi akan datang. Secara tidak langsung, anak muda pasti akan mewarisi budaya dan budi Bahasa yang sama.
25 Februari 2018 akan diadakan satu Bengkel Penghayatan Pantun bertempat di Triple XL Media, Shah Alam. Penyertaan adalah terhad. Penceramahnya tidak asing lagi iaitu Dato’ Dr. Zurinah Hassan. Rujuk poster untuk maklumat lanjut.
Pendaftaran, sila klik pautan berikut: https://goo.gl/forms/cKtfCEYWBa7nbTPB3
Pertanyaan, sila klik pautan berikut: http://bengkelpantun.wasap.my

18 Jan 2018

HADIAH PERADUAN RESENSI BUKU DBP

Masih ingat lagi tentang kemenangan saya dalam peraduan resensi buku anjuran DBPNiaga? Hari ni saya dan suami berkesempatan mengunjungi DBP Hulu Kelang untuk mengambil hadiah kemenangan. Alhamdulillah. Hadiah berupa jam tangan berjenama Casio bernilai RM300 menjadi tanda usaha saya membaca buku. Tak sia - sia luangkan masa untuk mebaca. Haa... lepas ni harap tak jemu untuk membaca. Kita tak tahu apa yang kita dapat? 

Saya dimaklumkan, ulasan saya tentang buku Menjolok Langit Menggapai Awan ini akan dimuatkan dalam majalah Tunas Cipta keluaran Mac 2018. Wow! Tak sabar nak baca. Ada masa nanti saya berikan sedikit tips mengulas buku. Boleh jadi panduan. Eh, dah beli Tunas Cipta? Ada tiga lagi ulasan buku yang lain. Semua yang menang hadiah utama tau termasuk ulasan yang dapat hadiah saguhati. 




Alang - alang dah sampai DBP Hulu kelang ni, sempat juga beli beberapa buah buku dan majalah di kedai bukunya dan berjumpa Pegawai Pemasaran DBP. Mungkin ada peluang untuk saya jadi ejen DBP? 

19 Dec 2017

BENGKEL PENULISAN DAN PENYAMPAIAN SAJAK ANJURAN KEMUDI



17 Disember 2017
BENGKEL PENULISAN DAN PENYAMPAIAN PUISI
Pada 17 Disember 2017, Persatuan Penulis dan Kebajikan Negeri Selangor (KEMUDI) telah menganjurkan Bengkel Penulisan dan Penyampaian Puisi bertempat di Pejabat Majlis Kebudayaan Negeri Selangor, Shah Alam.
Bengkel penulisan yang dikendalikan oleh SMahadzir atau nama penuhnya Syed Mahadzir Syed Ibrahim dihadiri oleh 22 orang peserta yang terdiri daripada golongan pendidik dan korporat.
Bengkel yang berjalan selama satu hari ini diadakan untuk mencari bakat baru dalam dunia penulisan puisi selain mengasah bakat sedia ada. Selan itu, melalui bengkel ini juga, para peserta didedahkan dengan teknik penyampaian puisi yang betul termasuklah ekspresi wajah, kawalan suara dan sebagainya serta perkara - perkara yang dilihat oleh hakim semasa sayembara deklamasi puisi.

13 Dec 2017

MENANG RESENSI BUKU ANJURAN DBP NIAGA

Saya mendapat berita gembira pagi ini. Penuh ucapan tahniah di whatsapp grup penulis. Saya terkejut nama saya disebut sebagai pemenang Peraduan Resensi Buku yang dianjurkan oleh DBP bermula 15 Oktober hingga 15 November 2017. Saya mengambil kesempatan membaca buku terbitan DBP dalam tempoh tersebut. Kebetulan, suami tiada di Malaysia atas urusan kerja. Sementara menunggu panggilan dia dari benua Eropah, saya berjaga sambil membaca buku. Selesai membaca, saya terus menulis ulasan dan menghantar melalui komen di Facebook DBPNiaga.


Saya tidak terfikir saya akan terpilih sebagai antara lima pemenang utama kerana ramai penulis yang menyertai peraduan ini. Saya pun sibuk dengan persiapan perkahwinan adik, jadi selesai menghantar dua penyertaan, saya lupa terus dengan peraduan ini. Tau - tau, pada hari ini, saya menerima berita ini. Gembiranya! Ucapan tahniah tidak henti - henti saya terima melalui whatsapp dan FB. 

 

Saya mendapat jemputan untuk menerima hadiah kemenangan di DBP pada 25 Disember nanti tapi sayangnya, saya tak dapat hadiri majlis tersebut kerana telah membuat tempahan hotel di Johor. Saja bercuti hujung tahun. Sedih. Apalah agaknya hadiahnya ya?

Terima kasih dan syukur kepada Ilahi atas kemenangan kecil ini. Melalui peraduan seperti ini, saya lebih bersemangat untuk membaca. Ya, membaca kan jambatan ilmu. Terima kasih kepada suami yang tercinta kerana sentiasa mendorong saya untuk terus membaca. =)