26 Feb 2018

BERPANTUN BERSAMA SASTERAWAN NEGARA


 Buat pertama kalinya Syahida Hassan Enterprise bekerjasama dengan Persatuan Penulis dan Kebajikan Negeri Selangor (KEMUDI) menganjurkan Bengkel Penghayatan Pantun Bersama Sasterawan Negara; Dato’ Dr. Zurinah Hassan. Bengkel tersebut dijalankan pada 25 Februari 2018 dengan kehadiran 26 orang peserta dari pelbagai latar belakang. Para peserta teruja apabila dapat berinteraksi secara dua hala bersama tokoh sastera yang disegani ramai itu. Pelbagai pertanyaan diajukan untuk memantapkan ilmu berkaitan pantun dan puisi tradisional yang lain.
Para peserta dihiburkan dengan dendangan syair dan gurindam daripada Dato’ Dr. Zurinah pada awal bengkel. Mereka tidak ketinggalan untuk turut serta mendendangkan syair dan gurindam tersebut. Menurut Dato’, terdapat lebih 30 jenis puisi tradisional tetapi pantun merupakan puisi tradisional yang paling popular dan selalu digunakan dalam pelbagai acara dan penulisan.

24 Feb 2018

LEPAK SANTAI PENULIS DEALOVA 1 & 2


Alhamdulillah. Buku antologi terbaru sudah berada di tangan. Dealova 1 & 2 terbitan Pena Padu. 
Siang tadi, saya dan beberapa orang penulis Dealova 1 & 2 berkumpul di Tasik Shah Alam untuk sesi lepak santai dan penyerahan buku oleh penerbit buku Pena Padu. Program ni ala - ala majlis pelancaran tapi kami adakan secara santai saja. Tak ramai yang dapat sertai. Lebih kurang 10 orang penulis bersama ahli keluarga mereka. Itu pun dah terasa kemeriahannya. Kalau semua terlibat, pasti lagi kebabom. Hehe. Terima kasih semua terutama Ayahanda Chik yang menaja makanan yang sedap. 

Alhamdulillah. Syukur sangat. Lama menanti buku ni siap. Cabarannya, Tuhan saja yang tahu. Menurut kata penyelenggara, Sangat susah untuk emngumpul karya dari Ogos tahun lepas sampai ke bulan Januari. Ada saja halangan termasuk penulis yang tarik diri saat akhir dan penulis yang tarik karya! 😭😢 Saya faham mengapa perkara sebegini berlaku? Sebenarnya, tak mudah untuk menghasilkan sebuah cerita. Apatah lagi untuk menghasilkan karya yang mampu menarik minat pembaca, membuka minda dan memberi pengajaran yang berguna kepada pembaca. Saya akui, menulis tidak semudah mengunyah kacang. Kacang pun kadang-kadang ada yang keras, sukar untuk dikunyah. Begitulah, semua orang boleh menulis tetapi tidak semua mampu menulis dengan baik. Saya pun masih belajar menulis daripada penulis - penulis yang sudah dikenali dengan hasil penulisan yang mantap.


Alhamdulillah. Karya yang bertahun ditulis berjaya diterbitkan dalam antologi bersama penulis yang hebat - hebat. Melalui tunjuk ajar penyelenggara yang baik hati juga, beliau menyunting sedikit karya saya dan memberi pandangan kepada saya untuk memperbaiki mutu penulisan. Semakin hari semakin banyak yang saya rasa saya perlu belajar. Menulis tidak mudah ya. 

Dealova 1 & 2 dah terbit. Dengar kata ada sambungan. Kita jeng.. jeng... jeng... dulu ya. 😍
Nak tahu lebih lanjut, boleh 'like'dan 'follow' Laman FB Antologi Dealova 

Semua maklumat ada dalam tu termasuk maklumat ejen jualan naskhah Dealova. Wow! Siap ada ejen lagi tu. Buku best ni tau. Jangan tak beli.

























28 Jan 2018

BENGKEL PENGHAYATAN PANTUN BERSAMA SASTERAWAN NEGARA

PANTUN


PANTUN adalah sub genre puisi tradisi yang masih diminati. Pantun digunakan di dalam majlis perkahwinan, dijadikan lirik lagu dan dalam ucapan-ucapan. Pada masa ini timbul keinginan dan kesedaran dan minat dari orang ramai untuk menulis pantun. Oleh itu satu bengkel untuk membimbing peserta mencipta pantun mengajar untuk menghayati dan memahami pantun dianjurkan bagi memenuhi keperluan masyarakat kini.
Semasa di sekolah, kita belajar bentuk pantun sebagai puisi yang mempunyai rima akhir a-b-a-b saja. Tahukah anda, pantun juga mempunyai pelbagai jenis dan rima juga tidak terikat kepada bahagian akhir sebaliknya pantun yang baik adalah pantun yang tersusun dari awal hingga akhir setiap baris.
Tidak ketinggalan pembayang setiap pantun tidak ditulis sekadar untuk menyamakan rima atau sebagai penyedap sahaja sebaliknya pembayang juga berfungsi sebagai bayangan untuk maksud setiap pantun. Satu ilmu baru, bukan?
“Apabila dua baris pembayang ada maksud yang sesuai dengan dua baris maksud, ia akan jadi sebuah pantun yang baik dan sempurna. Jika pantun tersebut tak dapat membayangkan maksudnya, ia bukanlah pantun yang sempurna.”- Dato’ Dr. Zurinah Hassan.
Kita lihat pantun ini:
Kusangkakan nanas di padang,
Rupa-rupanya pandan yang berduri;
Kusangkakan panas hingga ke petang,
Rupa-rupanya hujan di tengah hari.
Berdasarkan pantun ini, pembayangnya memberi bayangan kepada maksud pantun seperti yang dijelaskan oleh Dato’ Dr. Zurinah Hassan. Pantun di atas membawa maksud, sesuatu yang diharapkan tidak menjadi kenyataan seperti ternampak nanas dari jauh, rupa – rupanya serumpun pandan.
Begitulah pantun wujud sebagai kiasan kata dan untuk menyampaikan sesuatu secara berlapik. Masyarakat Melayu memang kaya dengan budi Bahasa. Kita sebagai generasi kini perlu mengekalkan tradisi berpantun dan menghayati pemikiran dalam pantun untuk generasi akan datang. Secara tidak langsung, anak muda pasti akan mewarisi budaya dan budi Bahasa yang sama.
25 Februari 2018 akan diadakan satu Bengkel Penghayatan Pantun bertempat di Triple XL Media, Shah Alam. Penyertaan adalah terhad. Penceramahnya tidak asing lagi iaitu Dato’ Dr. Zurinah Hassan. Rujuk poster untuk maklumat lanjut.
Pendaftaran, sila klik pautan berikut: https://goo.gl/forms/cKtfCEYWBa7nbTPB3
Pertanyaan, sila klik pautan berikut: http://bengkelpantun.wasap.my

18 Jan 2018

HADIAH PERADUAN RESENSI BUKU DBP

Masih ingat lagi tentang kemenangan saya dalam peraduan resensi buku anjuran DBPNiaga? Hari ni saya dan suami berkesempatan mengunjungi DBP Hulu Kelang untuk mengambil hadiah kemenangan. Alhamdulillah. Hadiah berupa jam tangan berjenama Casio bernilai RM300 menjadi tanda usaha saya membaca buku. Tak sia - sia luangkan masa untuk mebaca. Haa... lepas ni harap tak jemu untuk membaca. Kita tak tahu apa yang kita dapat? 

Saya dimaklumkan, ulasan saya tentang buku Menjolok Langit Menggapai Awan ini akan dimuatkan dalam majalah Tunas Cipta keluaran Mac 2018. Wow! Tak sabar nak baca. Ada masa nanti saya berikan sedikit tips mengulas buku. Boleh jadi panduan. Eh, dah beli Tunas Cipta? Ada tiga lagi ulasan buku yang lain. Semua yang menang hadiah utama tau termasuk ulasan yang dapat hadiah saguhati. 




Alang - alang dah sampai DBP Hulu kelang ni, sempat juga beli beberapa buah buku dan majalah di kedai bukunya dan berjumpa Pegawai Pemasaran DBP. Mungkin ada peluang untuk saya jadi ejen DBP? 

19 Dec 2017

BENGKEL PENULISAN DAN PENYAMPAIAN SAJAK ANJURAN KEMUDI



17 Disember 2017
BENGKEL PENULISAN DAN PENYAMPAIAN PUISI
Pada 17 Disember 2017, Persatuan Penulis dan Kebajikan Negeri Selangor (KEMUDI) telah menganjurkan Bengkel Penulisan dan Penyampaian Puisi bertempat di Pejabat Majlis Kebudayaan Negeri Selangor, Shah Alam.
Bengkel penulisan yang dikendalikan oleh SMahadzir atau nama penuhnya Syed Mahadzir Syed Ibrahim dihadiri oleh 22 orang peserta yang terdiri daripada golongan pendidik dan korporat.
Bengkel yang berjalan selama satu hari ini diadakan untuk mencari bakat baru dalam dunia penulisan puisi selain mengasah bakat sedia ada. Selan itu, melalui bengkel ini juga, para peserta didedahkan dengan teknik penyampaian puisi yang betul termasuklah ekspresi wajah, kawalan suara dan sebagainya serta perkara - perkara yang dilihat oleh hakim semasa sayembara deklamasi puisi.

13 Dec 2017

MENANG RESENSI BUKU ANJURAN DBP NIAGA

Saya mendapat berita gembira pagi ini. Penuh ucapan tahniah di whatsapp grup penulis. Saya terkejut nama saya disebut sebagai pemenang Peraduan Resensi Buku yang dianjurkan oleh DBP bermula 15 Oktober hingga 15 November 2017. Saya mengambil kesempatan membaca buku terbitan DBP dalam tempoh tersebut. Kebetulan, suami tiada di Malaysia atas urusan kerja. Sementara menunggu panggilan dia dari benua Eropah, saya berjaga sambil membaca buku. Selesai membaca, saya terus menulis ulasan dan menghantar melalui komen di Facebook DBPNiaga.


Saya tidak terfikir saya akan terpilih sebagai antara lima pemenang utama kerana ramai penulis yang menyertai peraduan ini. Saya pun sibuk dengan persiapan perkahwinan adik, jadi selesai menghantar dua penyertaan, saya lupa terus dengan peraduan ini. Tau - tau, pada hari ini, saya menerima berita ini. Gembiranya! Ucapan tahniah tidak henti - henti saya terima melalui whatsapp dan FB. 

 

Saya mendapat jemputan untuk menerima hadiah kemenangan di DBP pada 25 Disember nanti tapi sayangnya, saya tak dapat hadiri majlis tersebut kerana telah membuat tempahan hotel di Johor. Saja bercuti hujung tahun. Sedih. Apalah agaknya hadiahnya ya?

Terima kasih dan syukur kepada Ilahi atas kemenangan kecil ini. Melalui peraduan seperti ini, saya lebih bersemangat untuk membaca. Ya, membaca kan jambatan ilmu. Terima kasih kepada suami yang tercinta kerana sentiasa mendorong saya untuk terus membaca. =)






26 Nov 2017

MAJLIS PELANCARAN BUKU TRIBUNAL CINTA & SUARA KEKASIH


MAJLIS PELANCARAN BUKU TRIBUNAL CINTA DAN SUARA KEKASIH TERBITAN PENA PADU

Grup Penulis Pena Padu telah menganjurkan Majlis Pelancaran Buku Tribunal Cinta dan Suara Kekasih pada 25 November 2017. Majlis ini diadakan di ruang parkir Perpustakaan Awam Hulu Langat, Bandar Baru Bangi, Bangi. Majlis yang serba ringkas ini dimeriahkan dengan kehadiran 16 orang penulis dari ketiga - tiga buah buku bersama ahli keluarga mereka dan beberapa jemputan khas. Antara penulis yang hadir memeriahkan majlis termasuklah Nurimas SN, Ilham Pujangga, Zaleena E-naa, Nurul Syahida Hassan, Yong Corner Corner, CT Nurza, Sodagar Katcja, Paridah Ishak, Rosmieni Che’ Mat, Rosmiena Che’ Mat, Fisal Md Hashim, Hasny Yanti, MS Rindu (Mohamed Salleh Lamry) dan AC Jaffrie selaku pengasas Pena Padu.

17 Sept 2017

SAYEMBARA DEKLAMASI PUISI HARI KEBANGSAAN




KEMUDI menganjurkan program ‘SAYEMBARA DEKLAMASI PUISI HARI KEBANGSAAN KE - 31’ pada 16 September 2017 bersamaan hari Sabtu bertempat di Pejabat Majlis Kebudayaan Negeri Selangor di No. 11, Jalan Nangka 4/6, Seksyen 4, Shah Alam. Acara berlangsung dari jam 09.00 pagi hingga jam 06.00 petang. Seramai 26 orang peserta telah terlibat dalam menjayakan program ini.
Peserta mula hadir untuk pendaftaran seawal jam 08.00 pagi. Setiap peserta diberikan nombor giliran mengikut waktu kehadiran. Acara dimulakan dengan taklimat pertandingan daripada Ketua Juri; Tn. Hj. Ahmad bin Sarju pada jam 08.30 pagi. Pertandingan peringkat saringan dimulakan tepat pada jam 09.00 pagi.

21 Jul 2017

SAMBUTAN AIDILFITRI DI KEMUDI

MALAM SEINDAH BUDI SELUHUR BAKTI


KEMUDI menganjurkan program Majlis Jamuan Aidilfitri KEMUDI pada 22 Julai 2017 bersamaan hari Sabtu bertempat di Pejabat Majlis Kebudayaan Negeri Selangor di No. 11, Jalan Nangka 4/6, Seksyen 4, Shah Alam. Acara berlangsung dari jam 08.00 malam hingga jam 12.00 tengah malam. Sebanyak 100 orang jemputan yang terlibat dalam menjayakan program ini.


15 Jul 2017

MENANG ULASAN NOVEL SRENGENGE DI BACA PRESS

Alhamdulillah. Indahnya pagi apabila menerima berita baik daripada Tuhan yang Maha Esa. Penyertaan saya dalam pertandingan ulasan buku anjuran Baca Press untuk novel telah memenangi HADIAH wang tunai RM100.

Saya kongsikan ulasan tersebut di sini.

Novel: Srengenge
Karya: SN Shahnon Ahmad
Pengulas: Nurul Syahida Hassan

ULASAN NOVEL SRENGENGE KARYA SASTERAWAN NEGARA SHAHNON AHMAD
Oleh: NURUL SYAHIDA HASSAN

Novel Srengenge hasil tulisan Sasterawan Negara Shahnon Ahmad merupakan sebuah karya yang menyentuh isu masyarakat kampung yang percaya akan semangat atau penunggu di Bukit Srengenge. 

19 Jun 2017

ABAH

Abah
Pergimu bersama sebuah harapan
Seorang anak yang baru mengenal dunia
Masih mentah menilai perkara
Hanya mampu mengumpul raksa yang mengalir memercik berjuta kekuatan ke segenap urat nadi
Untuk menghadapi kehidupan
Selepas pemergianmu
Pergimu bukan sementara
Tiada yang tersisa
Cuma kenangan yang masih melekat di tangkai hati
Abadinya hanya bayangan tubuhmu yang sentiasa bermain di mata
Alunan suaramu juga semakin pudar ditelan waktu
Jika pemergianmu kami tahu

18 Jun 2017

AKU, ABAH DAN RAMADAN

HARI INI 18 JUN 2017

SATU DUNIA MERAIKAN HARI BAPA
SEORANG BAPA DIRAIKAN ATAS KESUNGGUHANNYA MENUNAIKAN TANGGUNGJAWAB MEMIMPIN KELUARGANYA.


Abah telah pergi meninggalkan kami semua pada 3 Jun 2011. Pemergian abah mengubah kehidupan kami 360 darjah. Tiada lagi suara abah menasihati kami itu dan ini, tiada gurauan abah, tiada lawak jenaka abah dan tiada lagi kedengaran suara abah memanggil diri ini.

Setelah abah tiada, baru kita terasa kehadiran abah. Itu lumrah. Saya tidak pernah berjauhan dengan abah. Ketika abah sakit tenat, saya sedang berjuang dengan peperiksaan akhir semester di UiTM. Saya ralat. Saya tiada di sisi abah ketika abah memerlukan anak - anak di sisinya. Hanya mama yang setia di sisi Abah. Mama melayani setiap detik, sakit abah, makan abah malah memandikan abah. Abah hilang upaya. tubuhnya yang bugar, hanya tinggal rangka. Abah menanggung kesakitan. 

Kini, abah sedang berbahagia di samping Sang Pencipta. Setiap hari saya berdoa, semoga dapat bertemu abah di Syurga. Hati ini sangat merindui Abah. 

Sempena Hari Bapa ini, saya hanya mampu mendoakan Abah semoga sejahtera di negeri sana. Sajak ini saya tulis istimewa untuk memperingati abah kerana di setiap Ramadan, Abah mengimarah Ramadan kami. kami tidak pernah sunyi dengan tazkirah Abah, ajaran agama yang abah sampaikan dan kisah - kisah tauladan yang abah perdengarkan kepada kami. Apatah lagi, menjelang Syawal, Abah memeluk kami. Kini, pelukan itu hanya dapat dirasai tatkala mata ini dipejam. Abah hanya ada dalam hati ini. 

Selamat Hari Bapa, Abah. Tiada abah sepertimu. Kami akan sentiasa merinduimu dan dirimu akan tetap hidup dalam diri kami.

klik di sini jika anda mahu meraikan abah anda.

16 Jun 2017

JUALAN AMAL DI SK RAJA MUDA, SEKSYEN 4, SHAH ALAM


Mudahnya buat amal. Mari berbelanja sambil beramal.

Saya turut menyertai jualan ini.

Buku - buku saya akan dilelong dengan harga RM15 SAHAJA! JANGAN LEPASKAN PELUANG INI!


TIPS BERBELANJA MENJELANG SYAWAL


Ramadan semakin berlalu pergi. Kita pasti akan merindui saat - saat beribadah dan menahan diri daripada lapar, dahaga, emosi melampau dan pastinya menahan diri daripada pembaziran dan boros. 

Setiap kali menjelang perayaan Aidilfitri, pasti ramai akan mengeluarkan belanja yang besar untuk meraikan hari kebesaran umat Islam ini. Segala persiapan akan dilakukan sebelum tibanya Ramadan daripada pakaian, makanan, keperluan rumah, perbelanjaan balik kampung, urusan zakat dan sebagainya.

Namun, perbelanjaan yang besar bukan suatu kewajipan walaupun kita meraikan hari raya setahun sekali sahaja. Begitu juga Ramadan yang tiba setahun sekali, kita juga dilatih dan berlatih menahan diri daripada memenuhi nafsu yang buas, mengapa di penghujung Ramadan kita melempiaskan nafsu dengan berbelanja sesuka hati? Di mana ibrah atau pengajaran dalam Ramadan itu?

Di sini, saya ingin kongsikan beberapa tips untuk mengawal perbelanjaan anda supaya selepas Aidilfitri, anda masih ada wang untuk perbelanjaan harian sementara menanti gaji seterusnya. 


12 Jun 2017

SALAM NUZUL AL - QURAN

ALHAMDULILLAH!

Kita sudah memasuki fasa kedua dalam bulan Ramadan. Fasa pengabdian diri kepada Pencipta Maha Agung. 17 Ramadan, Al - Quran diturunkan. Satu mukjizat yang kekal hingga ke hari kiamat. 



Al - Quran; mukjizat Nabi S.A.W. yang masih dapat disaksikan sehingga sekarang dan selamanya. 

Kalamuallah ini diturunkan oleh malaikat Jibrail secara berperingkat bermula dengan ayat Iqra', iaitu 'Bacalah'. Mengapa mukjizat maha suci ini dimulakan dengan seruan membaca? Sedangkan pada ketika itu, bukan zaman 'membaca'. Belum ada lagi teknologi penulisan. Sekadar menulis di atas batu, kepingan daun dan di pipih tamar. 

Al - Quran menjadi kitab rujukan seluruh umat merentasi masa. Sentiasa relevan sejak seribu tahun yang lalu, masa kini dan pastinya untuk beribu tahun lagi. Seruan membaca tetap bergema selagi ada hayat manusia. Allah telah memberi petunjuk kepada kita, kepentingan membaca untuk kejayaan. Jom kita membaca. 

Hayati Al - Quran, 
timba pengetahuan, 
dekati ilmuwan. 





10 Jun 2017

RESENSI BUKU DI PERBADANAN KOTA BUKU

ALHAMDULILLAH.

Syukur yang tidak terhingga kepada Yang Maha Esa kerana atas izin-Nya, saya berpeluang untuk bersiaran secara langsung di Perbadanan Kota Buku untuk sesi resensi buku. Temujanji singkat antara saya dan pengurus sesi ini iaitu Encik Sam memberi peluang kepada saya untuk memperkenalkan diri dan membuat ulasan mengenai karya saya.

Saya memilih karya pertama saya yang berjaya dibukukan. Sesuci Sekuntum Dahlia dalam Antologi Bebas. Antologi Bebas diterbitkan pada bulan Ogos 2016. Cerpen ini pula ditulis pada tahun 2015. Saya tak ingat bila tarikhnya tapi yang pasti ketika itu saya masih belum berumahtangga. 

Siapa Dahlia? Kenapa saya mengangkat kisah ini? Itu persoalan yang saya rungkaikan dalam resensi kali ini. Kisah yang diinspirasikan daripada lagu Kupu - kupu Malam dendangan Evie Tamal yang kemudian dinyanyikan semula oleh Peter Pan memberi ilham kepada saya untuk menghasilkan sebuah cerpen. Saya selitkan moral, setiap manusi mempunyai peluang kedua untuk melakukan perubahan dalam diri mereka. Mereka berhak hidup bebas di bumi Allah ini. Mereka juga layak mendapat layanan yang baik. Siapa kita untuk menghakimi orang lain?

Saya memilih antologi ini untuk diulas kerana antologi ini membuka peluang kepada saya untuk melebarkan sayap dalam bidang penulisan. Antologi ini menjadi batu loncatan kepada saya untuk terus mengorak langkah dalam bidang penulisan. Bidang penulisan bukan sesuatu yang mudah. Tanpa usaha yang berterusan, semangat yang kental dan jiwa yang kuat, tiada karya yang akan terhasil.

Saya sangat bersyukur. Bersyukur atas nikmat Tuhan yang memberikan ilham kepada saya. Sesungguhnya, setiap ilham yang dikurniakan adalah rezeki dari-Nya. Bersyukur juga kerana dikurniakan teman hidup yang sudi menyokong kerjaya saya. Tanpa beliau, saya tidak mampu terbang dengan jaya. Saya umpama burung yang patah sayap! Kini, saya mampu terbang melihat dunia yang penuh warna. Bersyukur atas nikmat Tuhan, keluarga yang memberikan sokongan yang penuh walaupun tiada kata yang terzahir, senyuman dan doa mereka menjadi tulang belakang buat saya. 

Akhir sekali, naskhah Antologi Bebas ini membebaskan saya daripada belenggu fikiran yang sempit dan kusut. Saya bebas meluahkan pemikiran saya. Saya bebas berkarya. Saya pasti anda juga mahu bebas daripada kehidupan yang gelap. Mari kita bersama - sama membebaskan jiwa yang suram, mencari cahaya Ilahi. Sesuci Sekuntum Dahlia - membuka mata jiwa.




klik link ini untuk lihat video siaran langsung yang telah dirakam oleh pihak Kota Buku.

1 Jun 2017

KARYA TERKINI

Alhamdulillah. Berita gembira telah diterima. Kelahiran dua karya terbaru dalam dua antologi terbitan Pena Padu. 



Antologi Warna - himpunan kisah - kisah masyarakat yang menjadi inspirasi dan mencorakkan warna hidup mereka.

Antologi Tribunal Cinta - kisah cinta yang penuh ranjau, onak dan duri. Kisah itu mendapat rundingan daripada kaunselor cinta. 

Karya saya pula:

Seindah Jalur Pelangi 2 - kesinambungan daripada Seindah Jalur Pelangi 1 hasil tulisan penulis Ilham Pujangga. Kedua - dua cerpen ini menggunakan format cerpen bersambung atau cerbung. Ini adalah percubaan kali yang pertama bagi saya dan Ilham Pujangga menghasilkan karya sebegini. Kisah ini adalah mengenai kerinduan seorang abang terhadap adiknya dan seorang anak kepada ayahnya yang telah terkorban ketika babjir besar melanda perkampungan mereka suatu waktu dahulu. 

Anugerah Sebuah Duka pula saya nukilkan untuk Antologi Tribunal Cinta membawa kisah sebenar dua insan, penyatuan dua hati yang penuh dengan liku, salah sangka dan dugaan. 

Kisah - kisah ini pasti menyentap tangkai hati para pembacanya. Saya pasti. Karya penulis yang lain turut menyentuh emosi sehingga mampu membuat mata pembaca berkaca. 

#syahidahassan
#kisahcinta
#tribunalcinta
#antologiwarna

28 May 2017

CINTA MAMA, SAYANG ABAH


MEI DAN JUN
Bulan meraikan ibu dan bapa.

Walaupun kita seharusnya meraikan ibu bapa kita setiap hari, setiap masa tetapi kita perlukan satu hari yang istimewa untuk meraikannya bersama. Sepertimana kita peruntukan hari khas untuk menghargai Guru, kanak - kanak, pembaca buku, alam sekitar dan pelbagai lagi sambutan istimewa. Tak semua orang berkesempatan untuk berkumpul selalu, bukan? 

Jadikan salah satu daripada hari dalam kalendar anda sebagai hari untuk berkumpul bersama keluarga tersayang. Wang ringgit boleh dicari, ibu bapa hanya satu, tiada ganti. Masa muda mereka banyak dihabiskan untuk membesarkan kita, mengapa kita kedekut dengan masa muda kita pula? 

Luangkan masa anda untuk mereka seperti mereka yang telah menghabiskan seluruh masa mereka untuk membesarkan anda. Mereka adalah anugerah Ilahi buat anda. Ibu dan bapa, tiada yang kedua. 

27 May 2017

PERTANDINGAN ULASAN BUKU

PERTANDINGAN ULASAN BUKU
Anda minat membaca?
Anda suka membuat ulasan?
Anda minat sesuatu kisah tetapi tidak menjangka pengakhirannya sebegitu? 
Anda mahukan sesuatu kelainan?
Anda mahu memperoleh sesuatu daripada pembacaan anda?

Jika kesemua soalan ini jawapannya 'YA',
YA! ANDA layak menyertai pertandingan ini.




Bagaimana caranya?
1. Baca karya - karya dalam buku yang ditetapkan. Jika tiada, boleh dapatkan buku tersebut daripada Syahida Hassan Enterprise dengan harga istimewa. Klik link ini untuk pembelian.
2. Berikan ulasan anda dalam 200 - 250 patah perkataan sahaja. Ulasan perlu dalam Bahasa Melayu dan tiada singkatan ejaan. Anda boleh melihat contoh ulasan yang diletakkan di laman FB RAK BUKU NURUL SYAHIDA atau boleh lihat di blog ini. Sebarang peniruan isi tidak dibenarkan.
3. Penulis dalam mana - mana buku ini tidak dibenarkan untuk menyertai pertandingan ini.
4. Borang penyertaan boleh diperoleh daripada link ini. Setiap penyertaan hanya menggunakan borang ini sahaja. Sebarang surat - menyurat atau PM tepi tidak akan dilayan.
5. Tarikh tutup penyertaan adalah pada 30 Julai 2017. Para pemenang akan diumumkan pada 6 Ogos 2017. Urusan penghantaran hadiah akan diumumkan di laman ini dan FB. Sentiasa lawati laman ini untuk info lanjut.